Kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH menggesa kerajaan Sarawak mengenepikan dasar BN sebelum ini yang menafikan peruntukan kepada ADUN pembangkang memandangkan mereka kini tidak lagi menjadi sebahagian gabungan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, BERSIH berkata kerajaan BN Sarawak sebelum ini menjanjikan RM5 juta setahun kepada 72 wakil rakyatnya di bawah program transformasi luar bandar.

BERSIH berkata penduduk di 10 kawasan DUN yang mengundi pembangkang tidak boleh dinafikan hak mereka mendapat peruntukan berkenaan.

"Sikap berat sebelah yang jelas oleh kerajaan negeri sama seperti menindas pengundi yang mengundi wakil rakyat pembangkang, dengan menghukum mereka kerana melaksanakan hak perlembagaan mereka untuk mengundi calon dan parti politik dengan bebas," kata BERSIH.

Sejak berkuasa pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji memberi peruntukan RM100,000 setahun kepada setiap anggota parlimen pembangkang bagi perbelanjaan di kawasan mereka, berbanding RM500,000 yang diperuntukkan kepada wakil rakyat kerajaan.

Peruntukan sebanyak RM500,000 itu dilaksanakan sejak beberapa dekad yang lalu.

Mengulas percanggahan itu, menteri kabinet Zuraida Kamaruddin minggu lalu berkata peruntukan sama rata antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang hanya boleh dilaksanakan jika ekonomi dalam keadaan baik.


Baca: Banyak ini saja kita mampu bagi pembangkang


Sebelum ini, BERSIH menggesa kerajaan-kerajaan di Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu mencontohi negeri-negeri lain yang menyediakan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

Sebagai contoh, kerajaan Johor berjanji memperuntukkan RM50,000 kepada ADUN pembangkang setiap tahun - jumlah yang sama diperuntukkan kepada wakil rakyat kerajaan.