Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiga tahun terlalu lama untuk adakan pilihan raya PBT'

Gabungan persatuan penduduk dan kumpulan masyarakat sivil dari Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi memilih Datuk Bandar dan Ahli Majlis tempatan.

Bagaimanapun, kumpulan MyPJ, Forum Penang dan Selamatkan Kuala Lumpur pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini berkata anggaran tiga tahun oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk mengadakan pemilihan itu terlalu lama.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Derek Fernandez berkata kerajaan boleh mula meminda Seksyen 10 (1) dan Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dalam sidang Parlimen bulan depan.

Pindaan itu telah mengakhiri pilihan raya pihak berkuasa tempatan yang pernah dijalankan sebelum ini.

Kerajaan juga katanya, boleh memulihkan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang digantung pada tahun 1965 semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.

"Ia akan mengambil masa kurang daripada 100 hari bagi mereka untuk meminda undang-undang ini. Selepas melaksanakannya, pelaksanaannya mungkin mengambil masa yang lebih lama.

"15 bulan adalah realistik untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan," kata Fernandez (gambar), sambil menambah antara isu-isu yang harus diselesaikan adalah daftar pemilih yang harus digunakan.

'Adakan pemilihan bulan Jun tahun depan'

Dalam kenyataan mereka, kumpulan itu berkata pemilihan Datuk Bandar bagi Bandaraya Petaling Jaya, Pulau Pinang dan KL perlu dijalankan menjelang Jun tahun depan, diikuti pemilihan ahli majlis tempatan menjelang Disember.

Katanya, pemilihan Yang Dipertua Majlis dan ahli majlis di seluruh negara di Malaysia perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Selamatkan KL (Save KKL) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (gambar) berkata penduduk Kuala Lumpur perlu diberi kuasa memilih Datuk Bandar mereka kerana Dewan Bandaraya (DBKL) telah gagal mewartakan pelan keseluruhan bagi ibu kota itu.

Peguam kanan itu berkata keadaan tersebut berlaku walaupun terdapat syarat untuk berbuat demikian di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

"Sehingga hari ini, pelan itu masih belum diluluskan, walaupun undang-undang mengatakan pada tahun 1982 bahawa ia mesti dilakukan secepat mungkin," katanya.

Abdul Aziz yang menetap di Damansara Heights, juga berharap agar kerajaan melakukan pembaharuan di Kuala Lumpur dengan memulihkan undi ketiga dan meluluskan rancangan pembangunan tempatan selepas berunding dengan penduduk.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS