Guan Eng dakwa Tabung Kebajikan KM Melaka diseleweng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Melaka berhubung skandal Tabung Kebajikan YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Laporan itu dibuat di balai polis Melaka Tengah, Melaka hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Melaka berhubung skandal Tabung Kebajikan YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Laporan itu dibuat di balai polis Melaka Tengah, Melaka hari ini.
Lim di dalam laporannya mendakwa dana dalam tabung tersebut yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kos rawatan orang awam yang miskin di hospital kerajaan atau swasta telah diseleweng.
Menurutnya, RM365,000 atau 40 peratus daripada RM908,424.33 yang terkumpul dalam tabung tersebut telah digunakan untuk membiayai kos rawatan keluarga Ketua Menteri sendiri termasuk isteri, anak-anak, abang ipar, mak mertua, kaka dan allahyarham ibunya.
Manakala RM2225,000 atau 25 peratus lagi digunakan untuk kos rawatan pesaki bergelar Datuk ataupun isteri Datuk.
Sumber wang tabung ini dari Umno negeri Melaka dan derma orang awam. Sebanyak RM368,283.82 disumbangkan oleh Umno Melaka dan RM539,958.51 diperolehi daripada derma orang ramai.
" Amat menghairankan mengapa ahli keluarga Ketua Menteri seperti isteri dan anak orang kaya perlu mengambil kesempatan dari Tabung Misteri ini dan menafikan hak orang miskin sedangkan rawatan perubatan percuma diberikan oleh kerajaan kepada ahli keluarganya selaras dengan kedudukan sebagai Ketua Menteri Melaka," kata Lim dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung DAP itu juga mendakwa Ali enggan mengulas isu ini ketika ditanya pada hujung Oktober lalu sebagaimana yang tersiar dalam akhbar China Press bertarikh 30 Oktober 2005.
Dalam laporan akhbar tersebut, Ali sebalik membuat tuduhan bahawa maklumat itu dibocorkan kepada parti pembangkang kerana pemberi maklumat diberi wang sogokan.
" Oleh kerana skandal dan kontroversi ini dibongkar oleh saya, maka jelas dakwaan sogokan wang itu ditujukan kepada saya."
"Ini merupakan satu fitnah dan pembohongan yang dilakukan semata-mata untuk mengalih perhatian umum daripada kegagalan Ali memberi penjelasan berhubung isu ini," tambah Lim lagi.
Beliau menegaskan tidak pernah membuat sebarang bayaran untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan skandal ini.
Katanya, adalah perlu siasatan dan tindakan diambil, bukan sahaja untuk menghalang Ketua Menteri Melaka itu menyebarkan fitnah malah bagi memastikan akauntibiliti dan ketelusan ditegakkan supaya rakyat Melaka berhak tahu tentang operasi tabung tersebut.

