Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemimpin anak ikan BERSATU cakap tak serupa bikin'

ULASAN | Pemantau Malaysia Baru membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah meluluskan sebanyak 80 tapak perniagaan bazar Ramadan di Jalan Masjid India bersebelahan dengan Mydin dengan jumlah keseluruhan hanya RM 6,238 kepada Mohd Noorhisyam Abd Karim, Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang.

Setiap petak berukuran 8x8 dan adalah sah bagi tempoh 06 Jun 2018 hingga 14 Jun 2018 dengan harga purata yang nominal sebanyak RM 77.98 bagi setiap petak.

Nampaknya budaya hiprokrit dan cakap tak serupa bikin di kalangan 'pemimpin anak ikan' BERSATU semakin menjadi di bulan Ramadan yang mulia ini di mana kebanyakan rakyat biasa sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin membimbangkan terutamanya dengan kenaikan gas bermasak hari ini.

Persoalan yang nyata di dalam isu adalah:

  1.  Kenapa tidak ada tender terbuka untuk tapak-tapak tersebut yang dikeluarkan oleh pihak DBKL sedangkan dibawah kerajaan BN kenyataan tender boleh dikeluarkan dengan tarikh pengundian bagi tapak bermula dalam bulan April? Bukankah ini inisiatif ketelusan yang diharapkan dari kerajaan HARAPAN?
  2. Kenapa tapak-tapak tersebut diberikan pada hanya BERSATU sahaja? Patutkah seorang ketua Pemuda bahagian diberi sebanyak 80 tapak pada harga sebegitu murah dan kenapa beliau dilantik secara terus oleh pihak DBKL?
  3. Apakah pendirian Lim Lip Eng selaku seorang anggota parlimen di Kuala Lumpur dan sebagai ‘kesatria’ kerajaan HARAPAN yang memperjuangkan ketelusan? Adakah Lim juga mengamalkan budaya hipokrit yang sama dalam isu ini? Takkan hanya dedah isu tanah yang dijual dibawah pentadbiran BN, sedangkan hasil masuk poket DBKL, isu ini hasil masuk poket ketua Pemuda BERSATU?
  4. Apakah pendirian Teresa Kok yang kini diura-urakan bakal dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutan kerajaan HARAPAN? Adakah beliau juga akan berdiam diri dalam isu ini sedangkan isu tanah lot ke konsesi parking dipertikaikan sehingga ke Putrajaya?
  5. Bukankah tapak-tapak bazar ramadan seperti ini bertujuan khususnya untuk membantu peniaga-peniaga kecil beragama Islam untuk berniaga pada bulan mulia ini bagi tujuan menambahkan pendapatan keluarga untuk Hari Raya?

Kegiatan berat sebelah yang dirahsiakan seperti ini jelas menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan HARAPAN yang melaungkan 'rule of law' dan ‘transparency’ bukanlah setelus yang dipropagandakan.

Kalau di peringkat yang mikro ini telah didedahkan dengan nyata penyalahgunaan kuasa tadbir mereka, bagaimanakah rakyat hendak mempercayai kerajaan HARAPAN untuk mentadbir negeri dalam skala yang lebih makro secara telus dan amanah?


DATUK LOKMAN ADAM Presiden Pemantau Malaysia Baru dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam pergerakan Pemuda Umno.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS