Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Bukan kerja mudah betulkan kelemahan BN dulu

Kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk memacu pertumbuhan negeri ini agar menjadi sebuah negeri maju dan membangun dengan sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri kini memberikan tumpuan kepada usaha membetulkan kelemahan kerajaan terdahulu dengan pelan tindakan serta pendekatan baharu sedang dirangka untuk dilaksanakan segera.

"Saya sedar ia bukan kerja yang mudah. Pelbagai cabaran pasti dihadapi, namun saya percaya hasil sokongan, dokongan dan kerjasama semua pihak, termasuk daripada kalangan rakyat sendiri dapat menjayakan matlamat kerajaan kita ini.

"...saya yakin kita boleh lebih optimistik terhadap daya maju negeri kita dalam pelbagai sektor," katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri malam tadi.

Umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri hari ini.

Semai semangat muhibah

Mukhriz berkata misi kerajaan negeri itu selari dengan kerajaan Persekutuan iaitu merangka dan melaksana dasar serta pelan tindakan efektif lagi menyeluruh demi memaju dan membangunkan negeri ini sekali gus hasil kejayaan itu akhirnya nanti melimpah sebagai nikmat untuk rakyat.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan kita ini untuk meletakkan kembali pentadbirannya di landasan yang betul, yang memenuhi aspirasi rakyat ketika memberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Ini kerajaan pilihan rakyat, maka sudah sewajarnya kerajaan ini dan jentera pentadbirannya berkhidmat untuk rakyat.

"Kerajaan ini benar-benar menjiwai dan merasai denyut nadi rakyat, yang bertekad mentadbir negeri secara demokratik, berintegriti, adil dan amanah demi rakyat yang bersatu hati dalam menggapai impian dan harapan bagi negeri Kedah yang baharu," katanya.

Beliau memberikan jaminan bahawa semua rakyat di negeri ini mempunyai hak yang sama dalam masyarakat dan akan menerima peluang lebih saksama untuk meningkatkan pencapaian hidup masing-masing tanpa mengira bangsa serta keturunan.

"Pesanan saya, dalam hidup bermasyarakat, kita mestilah menyemai dan menyuburkan semangat muhibah, toleransi dan bersatu padu agar tidak membantut rancangan kerajaan untuk melaksana pelbagai projek pembangunan untuk manfaat bersama," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS