Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Terima hakikat penjimatan, berkorban demi masa depan
Diterbitkan:  Jun 15, 2018 10:12 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat Malaysia supaya menerima hakikat langkah penjimatan kerajaan bagi mengembalikan negara ke landasan yang betul.

"Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagaimanapun berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

"Tetapi untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil, dan wang yang tidak halal tidak lagi boleh diagih kepada rakyat untuk menawan hati. Dengan ini, orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama dengan kerajaan.

"Percayalah korban yang sedikit yang kita ambil sekarang akan menghasilkan kesejahteraan hidup kita di masa hadapan. Inilah khasiat dari berkorban," kata beliau dalam Perutusan Aidilfitri 2018 malam tadi.

Dr Mahathir mengakui kerosakan yang berlaku dalam negara adalah lebih serius dan di luar jangkaan.

"Setelah mengambil alih pentadbiran, adalah jelas bahawa kerosakan yang berlaku pada negara adalah lebih serius dan di luar jangkaan awal. Hutang negara telah meningkat dengan begitu tinggi sekali," katanya.

Selesai masalah pengangguran

Bagaimanapun, beliau yakin masalah bekenaan dapat diselesaikan dengan memastikan negara sentiasa aman.

"Jika kita tentukan negara aman dan selamat, maka pelabur akan melabur dengan ramainya, dan peluang pekerjaan akan bertambah.

"Ini tetap akan menyelesaikan masalah pengangguran yang menimpa ramai dari rakyat, termasuk mereka yang berkelulusan tinggi," katanya.

Dua hari lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak merujuk laporan Moody's Investors Service, sekali lagi menuduh kerajaan HARAPAN sengaja menokok-tambah hutang negara sehingga mencecah RM1 trilion.

"Kamu boleh mengelirukan orang ramai tapi kamu tak boleh kelirukan pakar," kata Najib.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 13 Jun 2018 membidas Najib dengan mendakwa beliau cuma mengelirukan orang awam berhubung hutang negara.

Justeru, beliau menasihatkan Najib supaya tidak "bersembunyi di sebalik definisi hutang" bagi menutup keadaan sebenar ekonomi negara.

"Saya kesal bekas menteri kewangan masih tidak mahu mengakui hakikat ini. Saya harap janganlah cuba menegakkan benang yang basah dengan cuba mengatakan hutang negra tidak sebegitu teruk.

"Kalau bunga mawar, kita mesti panggil buka mawar. Janganlah cuba alihkan perhatian dengan mengatakan bukan-bukan.

"Kita perlu mengakui masalah sebenarnya agar kita dapat mengatasinya," kata Lim.

Umat Islam menyambut Aidilfitri hari ini. Dr. Mahathir Mohamad bersama anggota Jemaah Menteri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, majlis akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 4.30 petang.

Lihat Komen
ADS