Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat semakin kehilangan sokongan menjelang pemilihan Umno meskipun sehingga kini belum ada calon lain yang mengesahkan akan mencabar jawatan presiden yang ditandinginya.

Meskipun ada usaha melobi ahli politik veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Ahmad Zahid, setakat ini, hanya seorang penulis blog yang  menyatakan hasrat untuk mencabar naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden itu.

Sepanjang tempoh peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Ahmad Zahid dikatakan menyebabkan ada pemimpin Umno yang tidak berpuas hati.

Misalnya, beliau tidak memberi sokongan kepada Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kasim apabila pihak istana enggan menerima Datuk Ismail Kassim sebagai calon menteri besar, sebaliknya memilih Datuk Seri Azlan Man.

'Pemimpin lemah'

Tindakan itu menyaksikan Ismail membidas Ahmad Zahid sebagai "pemimpin lemah".

Untuk memenangi jawatan presiden, bekas timbalan perdanamenteri itu perlu mendapat sokongan majoriti daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Pengiraan pemilihan Umno kali ini menggunakan kaedah yang sama dengan pemilihan kolej di AS, yang mana dengan mendapat sokongan majoriti perwakilan dalam satu-satu bahagian, calon berkenaan dikira mendapat satu undi.

Dalam kata lain, satu bahagian Umno mewakili satu undi.

Memandangkan Perlis hanya mempunya tiga bahagian, bererti hanya tiga undi yang boleh dimenangi. Justeru, Ahmad Zahid tidak terlalu risau menyebabkan ketidakpuasan hati anggota Umno di negeri itu.

Namun, di Johor yang mempunyai jumlah bahagian paling banyak iaitu 26, turut dilihat tidak berpihak kepada Ahmad Zahid.

Dengan pengecualian pemimpin bahagian di Mersing, Tenggara, Sekijang dan Pulai, majoriti pemimpin bahagian Umno di kawasan lain tidak menyokong Ahmad Zahid, namun mereka tidak mempunyai calon alternatif.

Pemimpin bahagian yang berpihak kepada Ahmad Zahid sekali pun, dilihat mempunyai kemungkinan dipinggirkan.

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminulrashid mencabar penyandang Umno bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang merupakan penyokong Ahmad Zahid di Johor.

Tengku Putra sebelum ini mempersoalkan pertemuan Ahmad Zahid dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerjasama Umno Johor-Negeri Sembilan

Menurutnya, Ahmad Zahid gagal menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa dalam perjumpaan itu beliau meminta nasihat dari pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) tentang cara untuk menguruskan Umno.

"Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid berjumpa untuk meminta nasihat cara untuk menguruskan Umno, namun Ahmad Zahid langsung tidak membalas dakwaan itu.

"Ia hanya menyebabkan kemarahan anggota Umno dan meyakinkan kami bahawa dia tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk memulihkan parti," katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Putra juga berkata, Ahmad Zahid tidak memberi gambaran yang baik apabila didakwa meminta nasihat pihak lawan cara untuk menguruskan parti sendiri.

Beberapa pemimpin muda Umno Johor, termasuk Onn Hafiz yang merupakan setiausaha politik Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut menggesa agar Tengku Razaleigh tampil bertanding agar anggota Umno yang tidak menyokong Ahmad Zahid mempunyai pemimpin alternatif.

Hishammuddin, yang merupakan pemimpin kanan dalam Umno selepas Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan Umno akan datang.

Cakap-cakap dalaman di kalangan Umno mengatakan tindakan Hishammuddin itu adalah untuk membuka laluan kerjasama antara Umno di Johor dan Negeri Sembilan bagi menentang Ahmad Zahid.

Pengerusi Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum ini telah mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden Umno, jawatan yang akan dilihat akan disandang Hishammuddin sekiranya tiada pencabar.

Umno Negeri Sembilan mempunyai lapan bahagian. Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Khairy Jamaluddin, yang berada di dalam kem Mohamad pula mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dilihat mempunyai sokongan kuat di negerinya sendiri di Perak, yang mempunyai 22 bahagian.

Ketua Umno Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid dengan berkata bahawa pemangku presiden Umno itu perlu diberi peluang memimpin parti mereka.

Tajuddin, yang juga akan bertanding jawatan naib presiden, menafikan dakwaan yang mengatakan Ahmad Zahid menunjukkan kelemahan apabila berjumpa Dr Mahathir.

"Tidak ada salahnya mengunjungi Dr Mahathir sebagai tanda hormat kepada perdana menteri. Sekiranya (bekas presiden Umno) Najib menang, orang lain juga akan menemuinya untuk mengucapkan tahniah. Ini yang kita panggil sebagai politik matang," katanya kepada Malaysiakini.

Tajuddin dan Ahmad Zahid masing-masing merupakan pemimpin Umno Perak.

Perjumpaan penyokong Ku Li

Sementara itu, kehadiran Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid dalam program anjuran pemimpin muda Umno Johor untuk mempromosi Tengku Razaleigh, menimbulkan pertanyaan sama ada pemimpin Perak itu tidak menyokong Ahmad Zahid.

Program yang dianjurkan Isnin lalu itu ditampilkan sebagai ceramah anjuran NGO yang menampilkan Tengku razaleigh, namun rata-rata kehadiran adalah pemimpin Umno Johor.

Selain itu, turut hadir adalah Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, yang tampil memperkenalkan sekurang-kurangnya lima ketua bahagian Umno Selangor kepada Onn, yang merupakan watak utama dalam menggesa Tengku Razaleigh bertanding menentang Ahmad Zahid.

Apabila dihampiri Malaysiakini, Noh Omar bagaimanapun enggan memberi ulasan tentang kehadirannya di program itu.

Umno Selangor merupakan negeri ketiga paling banyak jumlah bahagian iaitu 22.

Usul Ku Li ketua pembangkang

Dengan mengambil kira semua ini, Ahmad Zahid dijangka menempuh jalan sukar sekiranya pencabar jawatan presiden Umno yang sesuai tampil di saat-saat akhir, yang menjadi pilihan kepada pemimpin bahagian Umno yang tidak puas hati dengan Ahmad Zahid.

Di kalangan penyokong Ahmad Zahid, mereka dikatakan berusaha untuk membendung kemungkinan tampilnya pencabar jawatan presiden.

Sumber yang rapat dengan Ahmad Zahid memberitahu Malaysiakini bahawa usul dikemukakan kepada Tengku Razaleigh agar anggota parlimen Gua Musang itu diberikan jawatan ketua pembangkang sekiranya beliau memberi laluan kepada Ahmad Zahid untuk menang tanpa pencabar.

Setakat ini, Tengku Razaleigh masih tidak mengesahkan akan bertanding meskipun seakan-akan memberi gambaran akan berbuat demikian sebelum ini. Pada masa yang sama tiada pencabar lain yang tampil.

Proses pencalonan bagi pemilihan Umno akan berakhir Ahad ini, yang bererti hanya berbaki dua hari untuk kejutan saat akhir.

Terdapat 191 undi bahagian untuk dimenangi. Jumlah bahagian (yang mewakili satu undi) mengikut turutan paling tinggi berdasarkan negeri adalah Johor (26), Sabah (25), Perak (24), Selangor (22), Kedah (15), Pahang (14), Kelantan (14), Pulau Pinang, (13), Wilayah Persekutuan (13), Terengganu (8), Negeri Sembilan (8), Melaka (6), dan Perlis (3).