Selepas sebulan berpuasa menunaikan rukun Islam ketiga, umat Islam hari ini meraikan Aidilfitri dengan semangat Malaysia Baharu yang mengetepikan perbezaan dan memperkukuhkan perpaduan rakyat.
Sambutan hari lebaran di seluruh negara bermula dengan umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di masjid-masjid. Turut serta menunaikan ibadah sunat itu adalah kerabat-kerabat diraja, para pemimpin politik, tokoh-tokoh masyarakat dan yang lain.
Turut tidak dilupakan amalan saling bermaaf-maafan yang menjadi tradisi setiap kali tibanya hari lebaran.
Di ibu negara, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di Kuala Lumpur bersama ribuan jemaah.
Antara yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Di KELANTAN, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi di Kota Bharu bersama kira-kira 5,000 jemaah.
Baginda diiringi Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat Diraja Kelantan serta pembesar negeri.
Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan kemudiannya beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda serta Tengku Muhammad Faiz.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, di Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Keberangkatan tiba baginda berdua turut disertai kedua-dua putera iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin.
Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya dekat Kuching.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kabinet negeri.
Abdul Taib mengadakan majlis rumah terbuka di Astana Negeri, Petra Jaya bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang, manakala Abang Johari mengadakan majlis yang sama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dari 10 pagi sehingga 4 petang.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Adly Zahari menyertai kira-kira 2,000 Muslimin dan Muslimat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.
Di KEDAH, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan menyertai lebih 2,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir di Alor Setar.
Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah bersama Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, selain Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa anggota Exco Kerajaan Negeri.
Di PULAU PINANG, Yang Di Pertua Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Pulau Pinang bersama 1,000 jemaah.
Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri dan rakyat di Masjid Negeri di Arau.
Berangkat sama menunaikan solat ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Di JOHOR, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bersama semua anakanda dan menantu baginda berkenan menyertai lebih 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Pasir Pelangi, berdekatan Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru.
Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, baginda berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Datuk Osman Sapian di kediaman rasminya di Saujana.
Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu bersama Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, beberapa pemimpin negeri dan rakyat jelata.
Sejurus selesai menunaikan solat sunat, baginda berangkat ke makam diraja di sekitar masjid yang sama.
Di SELANGOR di Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri di Shah Alam.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan solat sunat Adilfitri di Masjid Sultan Ahmad Shah bersama-sama lebih 1,000 orang jemaah.
Turut sama menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan adalah tiga anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Riayattudin Shah dan Tengku Ahmad Ismail Shah Muadzam Shah.
- Bernama
