Zahid waris tiga zaman
ULASAN | Bagi memimpin sesebuah parti yang banyak latar belakangnya, seseorang perlu menggarap segenap lapisan ahli dan mampu menghitung keperluan serta masalah semua peringkat. Bukan hanya di peringkat atasan.
Tumpuan kepada satu atau dua lapisan keahlian dan menyerahkan karenah ahli peringkat bawahan kepada ketua bahagian dan cawangan parti, bukanlah skop pendekatan yang diingini.
Bagi Umno, ahli veteran, pertengahan dan pemuda secara emosi politiknya memerlukan sentuhan langsung daripada pemimpin paling atas, iaitu presiden serta timbalannya.
Zaman kasta politik sudah lenyap, kini muncul 'sogososha politik' yang menjurus kepada keterbukaan satu pasukan, di mana ketua dan ahli duduk di bawah satu bumbung tanpa adanya 'compartmentilasation' perhubungan.
Dalam ertikata lain, tidak wujud lagi sekatan komunikasi antara atas dan bawah, dan dengan ini, sekecil mana pun isu akar umbi yang ingin dilenyapkan oleh kepimpinan bahagian dan perhubungan negeri, akan gagal.
Pertandingan terbuka untuk semua peringkat pada pemilihan kali ini adalah manifestasi kebangkitan Umno mengikut pemikiran tanpa kotak.
Ahmad Zahid Hamidi memiliki ciri kepimpinan ini di dalam Umno. Dengan rentetan sejarah politiknya sebagai ahli biasa, naik kepada ketua pemuda, kemudiannya naib presiden sehingga menjalankan tugas-tugas timbalan presiden dan akhirnya memangku jawatan presiden, sesiapa pun tidak dapat mempertikaikan rekod pencapaian cemerlang ini.
Terlalu gelojoh
Bagi seorang anak jati Malaysia yang bukan berketurunan bangsawan atau teknokrat, beliau seperti sudah ditakdirkan untuk menerajui parti Melayu terbesar ini dan di dalam saat paling getir serta sukar. Jika beliau berjaya memulihkan persepi rakyat terhadap Umno, maka ia sudah tentu kerana pengalaman luasnya.
Berbanding dengan Tengku Razaleigh Hamzah, putera diraja ini 'was born with a golden spoon in his mouth'. Kemunculannya dalam Umno bukanlah bermula di peringkat terbawah tetapi pertengahan.

Biarpun seorang tokoh lama yang disegani dan disanjungi, Ku Li tidak memiliki sentuhan 'tiga zaman' sepertimana Zahid. Pergerakan berpartinya banyak berkisar di sektor atasan dan pertengahan manakala urusan dengan akar umbi banyak diserahkan kepada kader-kader lantikannya.
Sebagai menteri kewangan yang cekap dan bersih, beliau terlalu gelojoh untuk menjadi pemimpin No.1 Umno apabila menentang Dr Mahathir Mohamad pada 1987, hanya enam tahun selepas 'Che Det' menerajui parti.
Kekalahannya menyaksikan haramnya Umno asal dan penubuhan Parti Semangat 46 pimpinannya pada 1988, dengan penyertaan ramai menteri dan pemimpin kanan yang sebelum itu berdiri teguh di belakang Dr Mahathir.
Umno Baru dihidupkan dengan banyak pengorbanan dan linangan air mata. Antara yang dipilih oleh Dr Mahathir agar usaha pemulihan dan penyuburan parti dijalankan ialah Datuk Seri Najib Razak dan Zahid. Pengikut setia.
Kesetiaan mereka terhadap presiden ketika itu memang tiada tolok bandingnya. Dr Mahathir sendiri pernah secara peribadinya menyebut betapa beruntungnya beliau, Melayu dan Umno memiliki pemimpin pelapis sedemikian.

Memang mereka tidak pernah terniat untuk menentang presiden, kecualilah jika mereka tahu Dr Mahathir akan menunggang parti selama 22 tahun dan kemudian akan menghancurkannya sendiri, mereka mungkin menyekatnya dari awal.
Berbanding Zahid dengan Ku Li, kedua-duanya mempunyai sokongan yang bukan sedikit. Namun begitu, kehadiran Zahid tanpa meninggalkannya walau sesaat pun, wajib dinilai dengan logik akal oleh ahli, khasnya ahli Umno.
Zahid tetap setia
Lain pula Ku Li, yang amarah berikutan kekalahannya di tangan Dr Mahahir, keluar parti selama lapan tahun sebelum membubarkan Semangat 46. Beliau kembali bersama Umno selepas 'menginjaknya' selama tahun dengan kata nista, umpat keji dan pelbagai penghinaan. Turut mengikutnya Rais Yatim yang kini membakar jambatan buat kali kedua.
Zahid tidak begitu. Walapun pernah disumbat oleh Dr Mahathir ke kem tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika kemuncak kes pemecatan Anwar Ibrahim, beliau tetap setia kepada presiden dan parti.
Inilah 'quality package' yang ada pada Zahid. Menjelang pemilihan Umno 30 Jun ini, biarlah beliau diberi ruang untuk menyusun semula parti dan memperkukuhkannya semula di arena politik tanah air.

Apakah perwakilan ingin mensia-siakan insan penuh setia dan mempunyai sentuhan tiga zaman ini?
Apakah ahli tidak dapat membezakan pemimpin mana yang berkhidmat untuk mempopularkan parti dengan yang hanya ingin mencari glamour dan kepopularan peribadi?
Tengku Razaleigh diperlukan di peringkat teratas sebagai penasihat eksekutif parti. Gandingan beliau di dalam Majlis Penasihat yang bakal diwujudkan, amat penting, malah lebih penting daripada perebutan kerusi pelbagai peringkat.
Usahlah jadikan Umno sebagai bursa saham atau pasar ikan. Apabila harga komoditinya menjulang, kita teguh bersamanya. Tetapi apabila ia mengalami susut nilai serta keruntuhan nilai, kita enggan memikul tanggungjawab dan cepat beredar. Malah ada cucu pemimpin veteran Umno 'takut' untuk bertanding kerana menjangka ahli parti akan menolaknya. Jika tidak mahu bertanding, tidak payah suruh orang suruhan menggangu pemilihan kali ini atau menolak orang lain ke depan.
Begitulah Umno sekarang, ramai yang berpaling tadah kerana kepentingan diri. Biarlah Umno di bawah Zahid menjadi lilin seinci, membakar diri agar semuanya diterangi.
HALIMAH BASIRON adalah seorang pemimpin NGO yang kini juga pemerhati politik tempatan.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

