Skandal bazar Ramadan DBKL amaran merah buat HARAPAN
Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) berharap skandal bazar Ramadan di Kuala Lumpur yang dikatakan melibatkan anggota BERSATU menjadi amaran "merah" yang pertama dan terakhir buat kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Isu bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak beberapa hari lalu yang melibatkan pemimpin bahagian BERSATU, anggota parlimen Bukit Bintang dan pegawai DBKL merupakan tanda (amaran) merah pertama bagi kerajaan Pakatan Harapan.
"PATRIOT berharap insiden tanda merah pertama ini juga adalah yang terakhir. Banyak yang kami perlu lakukan dalam membina semula negara kita, " kata Presiden PATRIOT Tan Sri Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan hari ini.
Bazar Ramadan di Jalan Masjid India menjadi kontroversi susualan seorang pemimpin Pemuda BERSATU yang dituduh menggunakan hubungan politik untuk mendapatkan permit bagi 80 lot tapak bazar daripada DBKL dengan kos RM6,238.40. Dia kemudian menjual setiap permit kepada peniaga sehingga mencecah nilai RM5,000 setiap satu lot.
Tinjauan rambang Malaysiakini mendapati peniaga-peniaga di bazar itu mengakui bahawa mereka membayar lebih daripada RM3,000 untuk mendapatkan tapak di kawasan itu.
'Skandal tetap skandal'
Ketua ARMADA BERSATU Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abdul Karim menafikan mengutip wang daripada peniaga dan merancang membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Mohamed Arshad menegaskan "skandal tetap skandal" tidak kira betapa remeh sesuatu perkara itu dan dengan demikian mesti diselidiki secara menyeluruh dan terperinci.
Tindakan mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang bersalah dalam hal ini kerana hanya dengannya (tindakan) HARAPAN akan terus menikmati keyakinan dan penghormatan penuh rakyat, katanya.
"Patriot ingin mengingatkan anggota parlimen dan ADUN Pakatan Harapan supaya lebih berhati-hati membuat surat sokongan lesen, permit, kerja kontrak dan projek," kata Mohamed Arshad.
Beliau juga berkata penjawat awam tidak patut takut kepada ahli politik dan merasa perlu menerima surat sokongan mereka, selagi prosedur operasi standard diikuti dan keputusan dibuat untuk faedah rakyat.

