Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin tak peduli siapa tanding presiden Umno

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan zamannya dalam Umno telah pun berlalu dan tidak ingin ambil peduli tentang apa-apa mengenainya lagi.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh hari ini berkata Umno adalah parti yang terlibat dengan berbagai-bagai skandal dan masalah seperti rasuah dan politik wang.

Justeru, beliau tidak kisah siapa yang akan bertanding merebut jawatan presiden parti itu pada pemilihan kali ini, biarpun pernah menjadi individu kedua terpenting dalam Umno sebelum ini.

“Sebenarnya saya tidak peduli lagi tentang Umno. Saya tidak mahu lagi mendengar apa-apa mengenainya.

“Minta maaf la, jadi saya tak kisah siapa yang nak bertanding. Itu hak dia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian sebagai mengulas keputusan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Tengku Hamzah semalam yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebelum itu, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li menegaskan keputusan beliau itu diambil selepas meneliti kedudukan dan situasi Umno terutama berkaitan soal kepimpinannya.

Setakat ini, hanya Ku Li dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mengumumkan secara rasmi akan bertanding jawatan itu manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga mengesahkan bertanding jawatan itu.

Pemilihan Umno kali ini akan berlangsung pada 30 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS