Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada parti patut dominasi Sarawak, kata PRS

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mempunyai perbezaan  dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya ia hanya didominasi  sebuah parti tertentu, kata Presiden Parti Rayat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Beliau  berkata, memandangkan pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan pada 2021, GPS bolehlah dikatakan masih berada di peringkat inkubator dan banyak penambahbaikan perlu dilakukan terhadapnya.

“Ia tidak boleh didominasi sesebuah  parti dan tidak boleh lebih daripada separuh daripada  jumlah kerusi dewan undangan negeri menjadi milik parti tertentu kerana ini bermakna parti itu boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.

"Sekiranya ia didominasi oleh sesebuah parti, maka tidak tercapailah tujuannya,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi PRS, di sini hari ini.

PRS adalah satu daripada empat bekas parti komponen BN, selain  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang meninggalkan gabungan itu untuk membentuk GPS.

-- LAGI

GPS-DOMINAN 2 (AKHIR) KUCHING

Pada 13 Jun, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan  empat parti itu meninggalkan BN setelah menganggotai gabungan tersebut selama 45 tahun  setelah mengadakan perbincangan dan pertimbangan mendalam tentang perkembangan politik semasa di negara ini selepas  berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata PRS masih berkeyakinan tentang perlunya penubuhan sebuah parti pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya, keputusan PRU14 juga menunjukkan parti berasaskan kaum tidak lagi diterima  rakyat Malaysia.

Katanya, parti itu juga meminta kerajaan negeri menimbang untuk memberi peruntukan tahunan  lebih besar kepada penduduk bukan Islam bagi membolehkan mereka membina tempat beribadat masing-masing.

Masing berkata kerajaan Sarawak juga perlu menimbang memberi peruntukan tahunan lebih besar kepada Unit Untuk Agama Lain (Unifor) agar rakyat Sarawak daripada pelbagai agama boleh terus mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa terasa diabaikan.

 “Sarawak sebuah negeri pelbagai agama, maka adalah wajar semua agama dipelihara,” katanya sambil menjelaskan bahawa anggota Dewan Tertinggi PRS berpendapat kini wujud keperluan  mendesak agar perkhidmatan awam negeri ini disusun semula agar ia mencerminkan jaringan sosial yang wujud di Sarawak (Melayu, Dayak dan Cina).

“Ketika ini, pengambilan anggota perkhidmatan awam negeri tidak memuaskan, wujud ketidakseimbangan. Pengambilan perlulah  berdasarkan apa yang anda tahu, bukan siapa yang anda kenal,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS