Keluarga minta media jangan ganggu anak Dr Azahari
Keluarga Dr Azahari Husin meminta pihak media dan masyarakat supaya jangan mengaitkan dua orang anaknya, dengan publisiti dan kegiatan bapa mereka.
Bani Yamin Husin, adik orang paling dikehendaki di Asia itu, berkata tidak wajar anak-anak yang masioh kecil dan tidak mengerti apa-apa itu dibebani dengan masalah berkaitan bapa mereka.
Keluarga Dr Azahari Husin meminta pihak media dan masyarakat supaya jangan mengaitkan dua orang anaknya, dengan publisiti dan kegiatan bapa mereka.
Bani Yamin Husin, adik orang paling dikehendaki di Asia itu, berkata tidak wajar anak-anak yang masioh kecil dan tidak mengerti apa-apa itu dibebani dengan masalah berkaitan bapa mereka.
"Mereka tidak tahu apa-apa, berilah mereka peluang untuk menikmati zaman anak-anak dan membesar seperti kanak-kanak lain," katanya di Jakarta. Beliau berada di ibunegara Indonesia itu untuk membawa pulang jenazah abangnya.
Beliau yang enggan menceritakan apa-apa mengenai anak-anak Dr Azahari telah meminta bantuan polis untuk mengawal rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur daripada ditunggui wartawan saban hari kerana tidak mahu anak-anak Dr Azahari diganggu.
Dr Azahari, 48, pakar bom yang dikatakan menjadi dalang utama beberapa serangan maut di Indonesia sejak 2002, antaranya serangan bom di Bali pada tahun itu yang mengorbankan 202 orang dan terbaru, juga di pulau peranginan itu, bulan lepas, terbunuh dalam serbuan di rumah sewanya di Kota Batu, Malang, Jawa Timur.
Bani Yamin juga berjanji akan berpegang kepada permintaan abangnya, semasa pertemuan akhir mereka pada 2001, iaitu memastikan anak-anak saudaranya itu mendapat pendidikan termasuk dalam bidang sains dan teknologi dan juga mementingkan agama.
Pesanan terakhir
Katanya abangnya berpesan tiga perkara -- supaya rezeki yang diperolehi Bani Yamin jangan dilupakan untuk isteri dan anak-anaknya, ditetapkan sebahagiannya untuk membantu anak yatim atau orang yang memerlukan dan menjaga ibu bapa mereka dengan baik.
Bani Yamin, 41, tiba di sini Ahad lalu dengan seorang biras Dr Azahari dan muncul memberi temubual di sebuah stesen televisyen swasta. Beliau telah mendapat kerjasama baik daripada pegawai kedutaan dan juga polis Indonesia.
Menurut laporan Bernama, Bani Yamin bersedia memberikan sampel darahnya untuk tujuan DNA jika diperlukan pihak Indonesia walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengirimkan sampel darah yang diambil daripada bapanya dan seorang lagi adik perempuannya di Malaysia baru-baru ini.
Beliau tidak pasti sama ada ujian DNA telah dijalankan tetapi berkata akan berada di sini seberapa lama yang perlu untuk mendapatkan keputusan yang pasti mengenai identiti lelaki yand dikatakanya abangnya itu.
Bani Yamin berkata bagi keluarganya ,abangnya itu tetap diingati sebagai seorang saudara yang dikenali dari kecil sehingga pertemuan terakhir mereka pada tahun 2001.
Beliau berkata pada pertemuan terakhir itu, Dr Azahari memanggil beberapa orang adik beradik dan keluarganya dan bercakap secara bersemuka dengan setiap seorang daripada mereka.
'Sudah takdir'
"Saya tidak tahu apa yang dibincangkan dengan yang lain tetapi dengan saya dia bertanya sama ada dia ada bersalah kepada saya dan saya jawab tidak ada, dan selepas itu dia mengatakan mungkin mereka tidak akan bertemu lagi sampai bila-bila," katanya.
Ketika ditanya sama ada keluarganya mendapat sebarang petanda abangnya itu melibatkan diri dalam kegiatan keganasan dan kenapa dia boleh menjadi demikian, Bani Yamin menjawab: "Kami sendiri masih tertanya-tanya kenapa dia jadi begitu seperti yang didakwa, kami terima sebagai takdir".
Bani Yamin berkata apabila berita Dr Azahari menjadi buruan utama polis Indonesia tersiar selepas peristiwa pengeboman Bali pada tahun 2002, beliau merahsiakan kaitan persaudaraan mereka "sebab perkara ini sangat berat bagi saya."
Sementara itu di Jasin, Melaka, keluarga Dr Azahari membuat persiapan bagi mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Batu 19, Kampung Cincin bersebelahan dengan kubur ibunya Allahyarham Halijah Amal.
Bapa saudara Azahari, Husin Abu Hassan, 64, berkata kubur itu disiapkan lebih awal bagi memudahkan urusan pengkebumian kelak walaupun beliau dan keluarga di sini belum mendapat berita bila jenazah Dr Azahari akan dibawa pulang dari Indonesia.
Husin berkata keluarganya berharap pihak media tidak mengganggu bapa Dr Azahari yang kini uzur dan kerana itu mereka sengaja tidak mendedahkan di mana beliau berada.

