Najib: Teruskan dasar BN gantung cukai eksport minyak sawit
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mahu kerajaan Pakatan Harapan meneruskan dasar kerajaan BN terdahulu dengan menggantung cukai lima peratus terhadap eksport minyak sawit mentah.
Najib berkata beliau membuat cadangan itu selepas mendengar luahan keresahan peneroka pekebun kecil Felda di kawasannya di Pekan, Pahang pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Beliau berkata eksport minyak sawit jatuh sehingga 20 peratus dalam 10 hari pertama bulan Jun.
“Salah satu faktor kepada kejatuhan ini adalah ekoran tindakan kerajaan mengenakan cukai 5 peratus terhadap eksport minyak kelapa sawit dan penganalisis pasaran berkata ia adalah faktor utama penyusutan permintaan dan penurunan harga.
“Kerajaan BN sebelum ini telah menggantung cukai berkenaan bagi empat bulan pertama tahun ini dalam memastikan pendapatan pekebun kecil tidak terjejas dan pasaran minyak kelapa sawit Malaysia terus berdaya saing dan kompetitif di pasaran antarabangsa.
“Bagi pihak pekebun kecil di Pekan dan kesemua peneroka di Malaysia, saya menggesa Kerajaan Pakatan untuk menggantung cukai eksport ini sehingga penghujung tahun ini atau sekurang-kurangnya sehingga harga dan permintaan pasaran kembali pulih,” katanya.
Menurut Reuters, cukai eksport lima peratus minyak kelapa sawit diteruskan pada bulan Mei, bulan yang sama ketika pilihan raya umum diadakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata Malaysia tidak lagi boleh berdiam diri berhubung keputusan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengurangkan dan akhirnya, menghentikan impot minyak kelapa sawit sawit.
“Kita perlu membantah langkah mereka ini dan berunding dengan EU serta-merta kerana mereka merupakan destinasi minyak sawit terbesar untuk negara.
“Dalam semangat Hari Raya ini, usahlah menjadikan isu ini sebagai polemik politik kerana industri minyak kelapa sawit kerana kehidupan beratus ribu pekebun kecil serta peneroka bergantung kepadanya.
“Sebaliknya, kerajaan baharu patut mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah harga dan permintaan minyak sawit dengan serta-merta.,” katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.