Terjemahan Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia AirAsia mungkin menambah jumlah penerbangan ke destinasi dalam negeri yang dikendalikan oleh Penerbangan Malaysia (MAS) yang kini mengalami kerugian, demikian menurut sumber industri.

Di bawah program rasionalisasi yang didokong oleh kerajaan, AirAsia mungkin menambah penerbangan ke destinasi popular seperti Kota Kinabalu dan Kuching di Malaysia Timur.

Destinasi lain termasuk Pulau Pinang, pulau peranginan Langkawi, kata sumber kepada AFP .

Menurutnya, satu perjumpaan antara pegawai tinggi AirAsia dan MAS yang turut dihadiri pegawai tinggi Kementerian Pengangkutan telah diadakan dua minggu lalu.

Menurut laporan akhbar the Star semalam, dua syarikat penerbangan tersebut telah bersetuju pada prinsipnya bahawa AirAsia yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh, mampu menambah penerbangan ke destinasi tempatan.

Menurutnya, Pengerusi MAS, Datuk Munir Majid (foto) mengesahkan mengenai perjumpaan tersebut.

Munir dilaporkan berkata, kabinet dijangka membincangkan rancangan tersebut dalam mesyuarat mingguannya yang dijadualkan esok.

Kabinet akan putuskan

MAS telah mengumumkan kerugian RM280.66 juta bagi tempoh tiga bulan sehingga Jun, selepas mencatatkan keuntungan RM26.58 juga setahun sebelumnya.

MAS telah mengumumkan rancangan lima tahunnya untuk meningkatkan keuntungan sehingga RM1 bilion, yang turut membabitkan rombakan pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes (foto) memberitahu AFP : "Ia terserah kepada keputusan kabinet." Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai rancangan tersebut.

Jika rancangan itu menjadi kenyataan, Pengurus Pembangunan Perniagaan World Discovery Travel, Joseph Xavier berkata penerbangan murah (oleh AirAsia) akan membantu meningkatkan sektor pelancongan dalam negeri dan jumlah pengisian bilik hotel di luar musim kemuncak.

"Ia juga akan membantu kerajaan kerana ia tidak perlu lagi mensubsidi MAS bagi penerangan dalam negeri," katanya seperti yang dilaporkan oleh the Star.

Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Chan Kong Choy berkata, kerajaan mahu dua syarikat penerbangan tersebut bekerjasama.

AirAsia dilancarkan pada Disember 2001 dengan hanya menggunakan dua pesawat dan sejak itu operasi berkembang pesat. Ia mendorong syarikat penerbangan lain untuk meniru model operasinya dalam menyediakan penerbangan murah.