Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'MB tak dapat restu HARAPAN, hanya disokong Azmin'

Pelantikan Menteri Besar Selangor yang baru Amirudin Shari tidak mendapat restu Pakatan Harapan (HARAPAN), dakwa ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad.

Idris sebaliknya berkata hanya beliau seorang sahaja yang mendapat persetujuan daripada semua parti HARAPAN.

"Saya ada sokongan semua parti dalam HARAPAN manakala Amirudin cuma mendapat restu Azmin Ali," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di kediamannya pagi ini.

Doktor pakar sakit puan itu turut menunjukkan salinan fotokopi surat sokongan yang ditandatangani oleh empat parti.

Istana minta tiga nama

Surat-surat yang ditulis pada bulan Jun itu mengesahkan sokongan kepada Idris sebagai menteri besar, ditandatangani secara berasingan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Beliau berkata nama dua lagi calon, Amirudin dan ADUN PKR Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin hanya dikemukakan selepas Istana Selangor meminta tiga nama calon.

Menurut Idris namanya berada dalam kedudukan teratas senarai calon berkenaan.

Bagaimanapun, pelantikan ini sama prosesnya ketika Azmin menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila Istana Selangor meminta mengemukakan tiga nama calon.

Manakala itu, Prof Shaharuddin (gambar) dalam suatu kenyataan berasingan hari ini menyambut baik pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar baru.

"Tahniah juga kepada YB Amirudin Shari sebagai Dato Menteri Besar Selangor yang baru. Moga Allah memberkati kita semua.

"...InsyaAllah Datuk Menteri Besar yang baru dan barisan kepimpinannya akan mampu terus melakar sejarah memakmurkan negeri Selangor yang dibangunkan bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal tetapi turut menggerakkan pembangunan manusiawi rakyat Selangor," kata beliau yang disenaraikan antara tiga calon menteri besar sebelum ini.

'Azmin letak asas kukuh'

Berbeza pendapat dengan Idris, Prof Shaharuddin mempertahankan kepimpinan Azmin Ali.

"Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam tempoh pemerintahan beliau memegang amanah sebagai Datuk Menteri Besar Selangor telah meletakkan asas yang cukup kukuh membangunkan negeri dan rakyat Selangor.

"Saya yakin berdasarkan pengalaman cemerlang di Selangor bahawa Datuk Seri Mohammed Azmin Ali akan mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk meningkatkan lagi potensi pembangunan ekonomi negara.

"Kita doakan yang terbaik untuk semua. Tahniah kepada Datuk Seri Mohammed Azmin Ali," kata beliau yang juga exco kerajaan negeri bagi portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS