Pembantu rumah asing merupakan golongan yang paling ramai melarikan diri daripada majikan masing-masing dalam tempoh sembilan bulan antara Januari hingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho berkata, dalam tempoh tersebut 12,457 pembantu rumah asing dilaporkan telah melarikan diri.

Katanya, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 19,614 pekerja asing yang dilaporkan melarikan diri daripada majikan m asing-masing dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Tan sebagai berkata, jumlah tersebut dianggap tidak kritikal kerana ia merupakan 1.13 peratus daripada 1.74 juta pekerja asing yang berada di negara ini.

"Jumlah itu adalah terlalu kecil dan tidak kritikal. Bagaimanapun ia masih merupakan masalah yang mendapat perhatian serius kerajaan," katanya ketika menjawab soalan Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) di Dewan Rakyat hari ini.

Tukar majikan

Berikutan itu, katanya, pihak kementerian telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan jumlah pembantu rumah asing yang melarikan diri, antaranya dengan memberikan kaunseling atau membenarkan mereka menukar majikan.

"Harap pihak majikan beri kerjasama supaya tidak memberi kesusahan kepada pembantu rumah asing," katanya.

Beliau berkata, penggantungan kepada tenaga kerja asing disebabkan oleh kekurangan pekerja tempatan yang berminat untuk bekerja dalam sektor tertentu seperti perladangan, perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan.

Tan berkata Malaysia mengamalkan dasar yang liberal dan terbuka berhubung pengambilan pekerja asing.

"Pekerja asing dari negara-negara sumber, dibenarkan masuk ke negara ini untuk tujuan bekerja asalkan mereka mengikut peraturan serta undang-undang negara," katanya.