Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Istana S'gor: Surat Wan Azizah batalkan surat terdahulu
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 3:37 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad bahawa ADUN Sungai Tua Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai menteri besar tanpa mendapat konsensus daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam satu kenyataan, istana Selangor berkata Sultan Sharafuddin pada 7 Jun lalu menerima sepucuk surat dari presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mencalonkan tiga ADUN bagi  perkenan baginda.

"Di dalam surat itu juga, YAB Datuk Seri Dr Wan Azizah memohon perkenan DYMM Tuanku bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan DYMM Tuanku layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Datuk Menteri Besar Selangor.

"Surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh Presiden PKR ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada DYMM Tuanku," kata kenyataan itu.

Pada sidang akhbar semalam, Idris mendakwa beliau mendapat sokongan semua pemimpin-pemimpin HARAPAN di Selangor, manakala Amirudin hanya mendapat sokongan bekas menteri besar Datuk Seri Azmin Ali.


Baca: 'MB tak dapat restu HARAPAN, hanya disokong Azmin'


Beliau menunjukkan surat pada Jun yang menyatakan sokongan kepadanya sebagai menteri besar ditandatangani secara berasingan oleh Wan Azizah, ketua BERSATU Selangor Abdul Rashid Asari, ketua AMANAH Selangor Izham Hashim dan ketua DAP Selangor, Tony Pua.

Menurut istana, setelah diteliti dan mendapatkan pandangan Azmin, Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Amirudin sebagai menteri besar yang baru.

"Sebagai rujukan, DYMM Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar.

"Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

"Oleh itu adalah tidak bertepatan untuk ADUN Ijok untuk mengatakan bahawa beliau (ADUN Ijok) dicalonkan untuk memegang jawatan Datuk Menteri Besar Selangor," kata pihak istana.

Sementara itu istana Selangor juga menafikan dakwaan Idris bahawa Azmin juga sebelum ini dilantik sebagai menteri besar tanpa mendapat restu daripada HARAPAN.

"Pencalonan ini dibuat bersandarkan kepada fakta bahawa YAB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menjadi Datuk Menteri Besar Selangor sebelum ini dan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta telah membawa parti Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihanraya yang lalu," katanya.

Lihat Komen
ADS