Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima lebih 60 aduan daripada pengguna tentang hutang lapuk berserta ugutan oleh agensi pengutip hutang sepanjang tempoh tahun lepas hingga kini.

Setiausaha CAKE Mohamad Yusrizal Yusoff berkata kebanyakan aduan diterima itu melibatkan pembelian motosikal selain barangan elektrik seperti televisyen dan mesin basuh, dengan aduan terkini yang diterima pihaknya adalah hutang lama sejak 17 tahun lepas.

“Berdasarkan aduan diterima, kami mendapati kebanyakan agensi pemungut hutang akan guna nama seperti firma guaman. Mereka akan membuat panggilan telefon dan kemudian menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas), sekarang lebih mudah dalam aplikasi WhatsApp, mengatakan pengguna ini ada hutang lama yang perlu dibayar.

“Kes terbaru melibatkan seorang lelaki kakitangan awam yang terima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali dengan memperkenalkan dirinya sebagai pihak firma guaman, dan memaklumkan kakitangan awam ini ada hutang motosikal lama pada 2001 yang perlu dibayar sebanyak RM12,750.

“Saya difahamkan harga asal motosikal ini RM4,000 sahaja, tetapi kena bayar tiga kali ganda yang mungkin disebabkan kadar faedah tinggi. Kakitangan awam ini juga menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita yang mengugut dan mendorongnya membayar tuntutan tidak munasabah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamad Yusrizal berkata malah pihak agensi pengutip hutang itu turut memalukan kakitangan awam berkenaan dengan cara memaklumkan hal tersebut kepada pihak atasannya sehingga mencemarkan imejnya sebagai pekerja.

Beliau berkata pengguna perlu tahu bahawa pihak pengutip hutang itu hanya mempunyai masa enam tahun bermula dari tarikh hutang tidak dibayar untuk membuat sebarang tuntutan sivil melalui proses mahkamah.

Selepas tempoh enam tahun itu pihak pengutip hutang itu sudah tidak boleh lagi menuntut melalui mahkamah dan dikira sebagai hutang lapuk mengikut Seksyen 6 (1) Akta Had Masa, katanya.

- Bernama