Sokongan bagi kempen pulih kebebasan kampus meningkat
Terjemahan Satu pernyataan yang mengandungi tujuh tuntutan kebebasan di kampus telah disah dan disokong oleh 55 pertubuhan sejak ianya dilancarkan oleh pergerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Terjemahan Satu pernyataan yang mengandungi tujuh tuntutan kebebasan di kampus telah disah dan disokong oleh 55 pertubuhan sejak ianya dilancarkan oleh pergerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Tuntutan tersebut dibuat berikutan pencemaran yang didakwa berlaku sewaktu berlangsungnya pilihanraya kampus baru-baru ini serta tindakan disiplin yang diambil terhadap para pelajar yang membantahnya.
SMM menuntut supaya semua dakwaan terhadap pelajar terbabit digugurkan manakala pilihanraya kampus baru-baru diisytiharkan tidak sah dan pilihanraya baru yang adil dan bebas diadakan.
Ia juga menuntut supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab mencemarkan pilihanraya kampus, manakala pelanggaran terhadap hak-hak pelajar dihentikan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dihapuskan.
Salinan pernyataan tersebut akan diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh dan lapan universiti yang mengenakan tindakan disiplin terhadap pelajarnya antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM).
Pengerusi SMM, Ahmad Rifauddin Abd Wahab memberitahu sidang akhbar semalam bahawa pihaknya juga turut mendapat sokongan pertubuhan dari negara-negara lain. Badan Orang Muda bagi Pergerakan Demokrasi Thailand telahpun mengesahkan sokongannya terhadap pernyataan tersebut.
"Kita sedang menghubungi beberapa badan lain, tetapi ia akan mengambil masa untuk menjelaskan keadaan dan untuk berkomunikasi dengan mereka," kata Rifauddin.
SMM turut melancarkan kempen mengumpul tandatangan untuk menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya mengadakan pilihanraya kampus yang bebas dan adil serta menggugurkan dakwaan terhadap pelajar serta menghapuskan Auku.
"Kami berharap dapat mengumpul 10,000 tandatangan dalam tempoh dua bulan. Petisyen tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan depan," kata Kong Wee Cheng Setiausaha Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia, yang juga ahli SMM.
Kong berkata, para pelajar dan orang ramai boleh menyatakan sokongan mereka terhadap kempen tersebut menerusi ahli-ahli SMS di kampus-kampus atau melayari lamanweb petisyen tersebut.
Sumber kewangan
Presiden Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (Gamis), Mohd Hanif Baderun, yang hadir di sidang akhbar tersebut, pula berkata SMM telah mengadakan kutipan sumbangan bagi menyokong usaha pemulihan demokrasi dan keadilan di universiti.
"Tabung tersebut akan digunakan untuk menerbitkan risalah, menganjurkan ceramah dan aktiviti bagi memulihkan keadilan dan demokrasi di kampus dan menghapuskan Auku," tambahnya.
Sementara itu, Rifauddin berkata, SMM akan terus mengumpulkan sokongan melalui pelbagai saluran dan pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Kaukus Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia dan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).
Sepuluh orang pelajar telah didakwa oleh pihak berkuasa universiti masing-masing atas tuduhan terbabit dalam bantahan terhadap pilihanraya kampus yang dicemari dengan dakwaan berlakunya penyelewengan dan berlakunya ugutan.
Enam daripada mereka adalah pelajar UPM, tiga dari UM dan seorang pelajar USM. Sesi siasatan kes mereka telah ditangguhkan atas pelbagai alasan.
Para pelajar UPM kini sedang menduduki peperiksaan akhir. UM pula secara tidak rasmi telah memaklumkan kepada pelajar terbabit bahawa sesi siasatan mereka akan diadakan semester depan, manakala USM belum memberi sebarang tarikh. Berita asal.

