Kerajaan Negeri Kelantan sedia mempertimbangkan cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat seperti diminta oleh Perdana Menteri, kata ahli Exco kerajaan Negeri, Husam Musa hari ini.

Husam yang juga Naib Presiden PAS, bagaimanapun berkata, beliau ingin tahu sama ada cabaran untuk pembubaran itu serius.

"Saya tidak pasti sama ada cabaran untuk bubar betul-betul serius; tetapi saya rasa 21 wakil rakyat Umno sudah tentu tidak sedap badan kerana prestasi mereka tidak memberangsangkan kerana tidak membawa pembangunan menyebabkan pengundi telan air liur sahaja," katanya ketika ditemui Bernama di Kota Darul Naim di Kota Bharu.

Husam menegaskan demikikan ketika diminta mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di akhbar hari ini supaya kerajaan negeri membubarkan DUN, jika PAS tewas dalam pilihanraya kecil negeri Pengkalan Pasir.

Husam berkata, rakyat sudah bosan dengan janji Adun BN dan yakin BN akan mengalami kekalahan teruk sekiranya pilihan raya umum diadakan nanti.

Mengenai calon PAS bagi pilihanraya kecil itu, beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat di samping tidak menghalang calon bebas bertanding.

"Yang pasti kita akan letakkan calon dari kalangan ahli PAS," katanya.

Politik wang

Beliau juga meminta Perdana Menteri memastikan pilihanraya kecil itu berjalan lancar tanpa ada politik wang, rasuah dan lain-lain yang boleh menggugat keamanan dan kepercayaan rakyat.

Katanya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu memastikan tidak berlaku penyelewengan dan sebagainya.

Sementara itu, ahli Exco Pembangunan Sukan Abdul Fatah Mahmood menafikan tiada pembangunan sukan untuk golongan belia di negeri ini di bawah pemerintahan PAS.

Katanya, aktiviti sukan dan pembangunan dilakukan dari masa ke semasa, terutama di kawasan Pasir Mas.

"Kita menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri tidak menyediakan program untuk golongan belia," katanya.