Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan darah di Kedah dan Perlis kritikal
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 5:49 AM
Dikemaskini: 10:07 PM

Jabatan Kesihatan Kedah menyeru orang ramai untuk menderma darah ekoran stok bekalan darah di Kedah dan Perlis semakin kritikal.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata setakat ini stok bekalan darah di dua negeri itu merekodkan sebanyak 400 unit sekali gus berada pada bawah paras selamat iaitu 700 unit.

Beliau berkata kadar kutipan bekalan darah berkurangan semasa Ramadan dan musim perayaan berbanding permintaan penggunaan darah masih tinggi ditambah dengan kes pendarahan yang memerlukan transfusi darah yang banyak.

“Untuk membantu meningkatkan kutipan bekalan darah, orang ramai boleh berkunjung ke Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Kulim di Kedah dan di Perlis di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menderma darah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dr Norhizan berkata pihaknya juga menjangkakan bekalan darah dapat dipertingkatkan mulai minggu hadapan berikutan kempen derma darah bergerak akan dipergiatkan semula dengan kerjasama pusat pengajian, jabatan kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Jadual unit bergerak derma darah boleh dilihat melalui Facebook 'Derma Darah Kedah/Perlis' atau menghubungi talian 04-7746051.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS