Pendaftar Pertubuhan mengesahkan Datuk Suhaimi Ibrahim dan ahli Majlis Tertinggi (MT) sekarang adalah barisan kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang sah, kata Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad.

Katanya, perkara itu dinyatakan oleh Pendaftar Pertubuhan dalam suratnya kepada GPMS baru-baru ini.

Pendaftar Pertubuhan mengesahkan kedudukan Suhaimi dan barisan ahli MTnya itu berikutan berlakunya kekeliruan mengenai status kepimpinan GPMS apabila berlaku "rampasan kuasa" oleh kumpulan yang diketuai oleh bekas Timbalan Presidennya, Shahrir Rejab.

Pada 26 Oktober lalu, Shahrir yang dipecat dari GPMS sehari sebelumnya, telah mengumumkan tindakan kumpulannya mengambilalih kuasa daripada Suhaimi. Pada 28 Oktober, kumpulan Shahrir menggantung jawatan Suhaimi dan Sobri.

Shahrir telah dilantik sebagai pemangku presiden dan bekas Setiausaha Agung GPMS, Syed Annuar Syed Mohamad dilantik semula memegang jawatan tersebut.

Mesyuarat khas

Sobri berkata, tindakan kumpulan Shahril mengambilaih kuasa itu adalah tidak sah dan bertujuan mengelirukan orang ramai.

"Mereka boleh didakwa kerana cuba menipu ahli GPMS. Pengambialihan kuasa dalam GPMS hanya boleh dibuat melalui mesyuarat agung. Selagi mesyuarat tidak dibuat, tidak ada pihak boleh berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, lagi, berikutan pengesaahan dari Pendaftar Pertubuhan itu, persidangan agung khas GPMS akan diadakan pada 17 Disember ini sebagaimana dijadualkan sebelum ini.

Kira-kira 300 perwakilan GPMS dari seluruh negara dijangka menghadiri mesyuarat selama dua hari yang akan diadakan di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras, Kuala Lumpur itu.