Seorang pemerhati perisikan Indonesia, Wawan H. Purwanto mendakwa dana bagi membiayai kegiatan kumpulan militan yang dikaitkan dengan Dr Azahari Husin dan rakannya yang masih diburu, Noordin Mohd Top, disalurkan dari Malaysia.

Dakwaan itu disiarkan dalam akhbar berpengaruh negara itu, Media Indonesia hari ini. Menurut laporan itu, seorang diplomat asing (tidak dinyatakan dari negara mana) menjadi penghubung dan berperanan menyalurkan dana untuk kegiatan kelompok Dr Azahari.

"Menurut laporan itu, dana itu juga disalurkan melalui seorang kurier (pembawa) yang berasal dari Malaysia yang dinamakan sebagai Suf.

"Dana datang dari sumbangan mereka yang bersimpati dan sefahaman dengan Noordin M. Top dan Azahari di Malaysia," Wawan dipetik sebagai berkata di dalam laporan tersebut.

"Diplomat itu punya kekebalan internasional sehingga berleluasa menyalurkan dana kepada kelompok teroris. Dia memberikan wang dengan tujuan membuat huru hara," tambahnya.

Menurut laporan Bernama dari Jakarta, pemerhati perisikan yang tidak dinyatakan latarbelakangnya itu berkata, beliau sudah memberitahu Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen) dan juga pemerintah Indonesia supaya menjalankan siasatan mendalam.

Mengenai kegiatan Suf pula, Wawan berkata ia memperolehi maklumat itu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada mulanya Suf dikatakan menyalurkan dana ke Indonesia melalui bank tetapi setelah tindakannya dikesan, Suf mengubah modus operandinya.

Guna orang tengah

Akhbar itu melaporkan bahawa Suf kemudian memindahkan tunai melalui orang tertentu dengan sistem "cut-out" di mana orang itu hanya digunakan sekali sahaja dan selepas selesai tugasnya semua hubungan dengannya diputuskan.

Menurutnya, pada tahun 2002-2003, ada bank Indonesia yang pernah digunakan untuk penyaluran dana itu tetapi beliau tidak menyebut nama bank berkenaan.

"Saya tidak berani menyebutkan secara spesifik, tapi yang jelas itu bank asing yang ada di Indonesia," katanya.

Bekas Ketua Badan Intelijen Negara (BIN) Jen (B) Hendropriyono pula dipetik berkata, pola pembiayaan para pengganas umumnya berasal dari badan-badan kebajikan yang penggunaannya disimpangkan melalui yuran anggota dan sumbangan mereka yang bersimpati serta kelompok tertentu seperti Al-Qaeda.

"Yang kami duga ada yuran anggota, juga dana yang masuk dari sejumlah yayasan untuk kegiatan sosial yang dipakai mendanai kegiatan terorisme," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu.

Namun, Hendropriyono mengakui belum dapat menyebut dengan tepat sumber dana utama kelompok Dr.Azahari.

Sumber di Kedutaan Malaysia di Jakarta ketika dihubungi pula berkata kedutaan akan mengemukakan laporan akhbar itu ke Kuala Lumpur termasuk kepada PDRM untuk siasatan.