Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petisyen pilihan raya: Tiada lagi khidmat AG untuk SPR
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 7:34 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini perlu mendapatkan peguam sendiri bagi mewakili badan itu dalam mana-mana petisyen pilihan raya mulai hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara berkata mereka tidak lagi akan mewakili badan itu seperti kelaziman yang dilakukan sebelum ini.

"Jsuteru SPR hendaklah melantik peguam pilihan mereka sendiri daripada Badan Peguam Malaysia untuk mewakili badan berkenaan dalam prosiding perundangan," kata Peguam Negara  (AG) Tommy Thomas.

Katanya sebagai badan yang diberi tanggungjawab sebagai pemutus yang berkecuali semasa mengendalikan pilihan raya, SPR tidak wajar diwakili Pejabat Peguam Negara kerana ia mungkin menyebabkan percanggahan kepentingan.

Thomas berkata langkah Jabatan Peguam Negara mewakili SPR dalam petisyen pilihan raya juga boleh menimbulkan persepsi bahawa keadilan tidak dilihat dilaksanakan.

"Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa pengerusi SPR mestilah mendapat kepercayaan awam, begitu juga dengan SPR itu sendiri.

"Oleh sebab itu, mulai hari ini jabatan ini tidak akan mewakili mana-mana pihak dalam petisyen pilihan raya, dan SPR hendaklah (melantik) peguam pilihan mereka sendiri daripada Badan Peguam Malaysia untuk mewakili mereka dalam prosiding perundangan," katanya.

Tak sesuai jadi wakil

Thomas berkata tugas utama Jabatan Peguam Negara ialah untuk bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada cabang eksekutif kerajaan yang diketuai perdana menteri, selain mewakili kerajaan dalam prosiding jenayah dan sivil di mahkamah.

SPR pula kata Thomas ditubuhkan semasa merdeka sebagai agensi untuk mengendalikan ilihan raya secara telus dan adil.

Katanya SPR perlu menjadi pihak berkecuali memberi khidmat kepada parti-parti politik untuk membolehkan mereka bertanding dan mendapatkan hak untuk mentadbir bagi tempoh maksimum 5 tahun.

"Disebabkan kerajaan biasanya menjadi pihak kepada petisyen pilihan raya tersebut - sama ada di kalangan ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri atau pihak yang telah tewas - adalah tidak sesuai bagi jabatan ini untuk juga mewakili SPR," katanya.

Mengikut undang-undang sesuatu keputusan pilihan raya boleh dicabar dalam tempoh 21 hari selepas ia diwartakan. Mengikut keadaan sekarang tarikh akhir untuk mana-mana pihak merujuk SPR ke mahkamah ialah pada 18 Jun.

Setakat ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia sudah memfailkan tujuh petisyen iaitu membabitkan keputusan PRU ke-14 bagi kerusi Tasek Gelugor, Jempol, Tapah, Bagan Serai, Lubok Merbau, Changkat Jong dan Kahang.

Parti Warisan Sabah pula mencabar keputusan bagi kerusi Kimanis, Sipitang, Keningau, Libaran, Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu.

Tidak ketinggalan, PKR untuk kerusi Pensiangan dan DAP di Ayer Hitam.

Lihat Komen
ADS