Seramai 400 penduduk setinggan dari Rimba Jaya, Jalan Papan, Corner Bridge dan Ladang Midland di Selangor, hari ini menghantar memorundum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung masalah pampasan dan isu pemindahan mereka ke penempatan baru.

Rombongan itu yang tiba di perkarangan Istana Alam Shah di Klang tepat jam 10.30 pagi dan menyerahkan memorandum itu kepada seorang wakil istana.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Supt Mohan Singh kemudiannya meminta rombongan berkenaan bersurai.

Penduduk setinggan di empat kawasan itu dipercayai bertindakan demikian kerana tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang mereka terima.

"Ada yang masih tidak menerima borang perjanjian dan ada yang mengadu rumah yang dijanjikan belum siap," kata seorang wakil penduduk yang enggan namanya disiarkan.

Katanya, walaupun masalah mereka itu telah diajukan kepada kerajaan negeri tetapi setakat ini tiada sebarang tindakan susulan diambil.