Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Atuk dan cucu maut, 6 cedera dalam nahas di LPT1
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 12:33 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Dua sekeluarga maut, enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Km233.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Kuantan tengah malam tadi, demikian menurut polis.

Dalam kemalangan pada kira-kira jam 12.05 malam itu, Hamzah Hitam, 77, dan cucunya Muhammad Hairi Khosni, 18, yang merupakan penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut di tempat kejadian.

Empat lagi anggota keluarga itu yang cedera ialah pemandu MPV Khosni Kamit, 54, yang merupakan staf Jabatan Kebajikan Masyarakat, isteri Khosni Nor Haliza Hamzah, 50, dan kakaknya Nor Haslina, 52, dan seorang lagi anak pasangan itu Muhammad Haziq, 24, yang patah paha kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata turut cedera ialah pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Wazir Baharudin, 46 dan rakannya, Muhammad Ishak Ismail, 54.

“Bagaimanapun pemandu sebuah lagi MPV Perodua Alza, Faiq Ibrahim, 28, isteri, Norhidayah Boriak, 25, anak mereka, Muhammad Firash Nawfal, 6 bulan, dan adik pemandu Mohd Firdaus, 24, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Sementara itu di Johor, dua beranak maut apabila kereta dinaiki mereka melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Km8 Jalan Pontian-Kukup di Johor Bahru, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Norasmah Ab Karim, 37, berasal dari Kampung Serkat Timor Serkat, Pontian serta anaknya, Muhammad Azqullah Azhar, empat tahun.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Mustafa Bakri Salleh berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu yang dipandu seorang lelaki tidak memberhentikan kereta ketika hendak keluar dari simpang, menyebabkannya berlanggar dengan kenderaan yang membawa Norasmah sekeluarga dari arah berlainan.

Akibat pelanggaran itu, Norasmah dan anaknya mati di tempat kejadian manakala suaminya, Azhar Zainal, 39, yang memandu kenderaan cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Pontian.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi anak Norasmah iaitu Muhammad Aizat, 10, dan neneknya Noraini Sulaiman, 60, cedera dan dirawat di hospital sama.

Pemandu dan tiga penumpang pacuan empat roda itu pula terselamat namun Mahkamah Majistret Johor Bahru telah mengeluarkan perintah reman empat hari ke atas pemandunya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu melulu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS