Penerbangan Malaysia (MAS) tidak sepatutnya mengambil tindakan membuang pekerja tetapi mengurangkan kos menaik taraf sistem pengangkutannya serta mengurangkan tajaan dalam usaha membaik pulih kedudukan kewangannya.

Selain itu, kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja MAS (MASEU) Alias Aziz, pihak pengurusan perlu mempertingkatkan sistem pengurusan syarikat itu dengan lebih cekap dan berwibawa dengan memastikan lembaga pengarahnya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang penerbangan, dan bukan hanya terdiri daripada tokoh kewangan.

Tindakan syarikat penerbangan itu membuang pekerja bagi mengatasi masalah kewangan tidak akan memberi kesan, katanya dalam sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.

"MAS buat masa ini kekurangan pekerja, buang tidak akan ubah apa-apa tetapi MAS kerap membuat keputusan yang merugikan syarikat dan pekerja," katanya.

Kelmarin, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya memberitahu Dewan Rakyat bahawa MAS mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM274.9 juta manakala kerugian selepas cukainya ialah sebanyak RM280.7 juta pada suku pertama tahun ini.

Menurut laporan Bernama, Kerugian yang ditanggung MAS itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan mendadak kos bahan api sebanyak 57.7 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, kata Hilmi.

'Hentikan tajaan'

Hilmi juga berkata, keperluan syarikat berkenaan mengurangkan kakitangannya berikutan kerugian yang dialami pada suku pertama tahun ini perlu dibuat setelah perbincangan dengan kesatuan sekerja syarikat itu.

Alias berkata, MAS perlu memberhentikan segera beberapa projek besarnya, seperti pengubahsuaian kabin pesawat yang menelan belanja RM700 juta dan pembelian enam pesawat A380 yang bernilai hampir RM7 bilion dalam mengatasi kemelut kewangannya.

Katanya jika MAS tidak mempunyai duit, projek besar seperti itu tidak diperlukan, malah MAS tidak perlu lagi menaja pelbagai program dalam dan luar negara yang menelan belanja berjuta ringgit.

Perbelanjaan mewah seperti tajaan untuk sesuatu program itu boleh dilihat sendiri oleh orang ramai melalui pengumuman yang dibuat oleh MAS di akhbar, katanya.

Beliau berkata, MAS juga perlu menghentikan laluan penerbangan yang tidak menguntungkan seperti ke Los Angeles, New York dan Beunos Aries untuk menjimatkan kos.

Langkah memberhentikan pekerja akan merugikan MAS memandangkan syarikat penerbangan itu telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan pelbagai latihan untuk kakitangannya, kata beliau.