Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim digesa supaya campurtangan untuk menetapkan tarikh awal perbicaraan bagi kes rayuan terhadap penolakan pendaftaran Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai sebuah parti politik.

Gesaan supaya disegerakan perbicaraan kes tersebut, dibuat oleh Gabungan Sokongan Pendaftaran PSM (Parti Sosialis Malaysia) bersama jawatankuasa penaja parti tersebut, dalam satu memorandum yang dihantar kepada Ketua Hakim Negara semalam.

Gabungan itu menegaskan bahawa gesaan tersebut dibuat selaras dengan kenyataan Ahmad Fairuz dalam satu forum anjuran Suhakam sebelum ini, bahawa kehakiman negara masih ketinggalan ke belakang dalam menyelesaikan kes-kes sebelum tahun 2000 sepertimana yang dijanjikan.

"Pada kami, kenyataan sedemikian merupakan suatu usaha konstruktif yang tepat diambil oleh Ketua Hakim Negara, di mana dengan mengenalpasti kelemahan semasa, barulah langkah-langkah wajar boleh diambil untuk menyegerakan kes-kes tertangguh begitu lama.

"Ini akan dapat memberi kepercayaan kepada orang awam terhadap sistem kehakiman negara," katanya dalam memorandum tersebut.

"Di samping itu, kami juga merayu kepada Yang Amat Arif Tun Ketua Hakim Negara, selain daripada menyegerakan kes-kes sebelum tahun 2000, adalah wajar dan perlu kes-kes khusus dan tertentu yang melibatkan hak asasi, isu kepentingan awam dan Perlembagaan, disegerakan," tambahnya.

Permohonan ditolak

Sehubungan itu, memorandum tersebut menyebut bahawa peguam yang mewakili PSM telah menfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2003, tetapi sehingga hari in setelah lebih dua tahun ia masih menunggu penetapan tarikh perbicaraannya.

Menurut memorandum itu lagi, permohonan untuk mendaftar PSM telah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan di Kuala Lumpur pada 30 April 1998.

Bagaimanapun katanya, Pendaftar Pertubuhan telah menolak permohonan tersebut pada 23 September 1999 tanpa memberi sebarang alasan.

"Selaras dengan kehendak undang-undang, kami telah membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dan usaha itu juga menemui kegagalan kerana ditolak tanpa memberi sebarang alasan," tambahnya.

Berikutan itu, Pengerusi Penaja PSM, Dr Nasir Hashim telah memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan tersebut untuk mendapatkan perintah certiorari dan mandamus.

Pada 21 Mac 2000, tegas memorandum tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk K C Vohrah telah memberi laluan kepada permohonan tersebut.

Notis rayuan

Selepas beberapa kali penangguhan, tegasnya, perbicaraan permohonan tersebut didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Hamid Said yang menolak permohonan tersebut pada 13 Januari 2003.

"Pada 7 Februari 2003, kami telah menfail notis rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan tersebut, tetapi sehingga hari in setelah lebih dua tahun kami masih menanti satu tarikh perbicaraan," tambah memorandum itu.

Menurutnya, PSM hanya inginkan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Negara untuk bergerak dan bergiat sebagai parti politik dan mengambil bahagian dalam pilihanraya umum.

"Pada 26 Mac 2005, sebanyak 36 pertubuhan telah menyerahkan satu memorandum bersama kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri meminta PSM didaftar sebagai parti politik.

"Bagi menyegerakan tindakan mahkamah, peguam dalam kes ini telah menfailkan Notis Perakuan Segera sebanyak dua kali dan disusuli dengan menulis surat kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan tarikh awal perbicaraan, tetapi tiada sebarang jawapan..

"Kelewatan mahkamah memberikan tarikh perbicaraan awal secara langsung dan tidak langsung telah memprejudis hak perlembagaan kami seperti menafikan PSM bertanding dalam dua pilihanraya umum lalu 1999 dan 2004.

Berikutan itu, tegas memorandum tersebut, dalam dua pilihanraya umum itu, PSM terpaksa menggunakan logo parti-parti lain untuk bertanding disebabkan kesnya masih tertangguh di mahkamah.