Syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1MDB mengumumkan pelantikan Datuk Asri Hamidon sebagai pengerusi barunya berkuatkuasa semalam.

"Beliau (Asri) juga merupakan timbalan setiausaha yang menyelia pelaburan kerajaan di Perbendaharaan," kata lembaga pengarah 1MDB dalam satu kenyataan pagi ini.

Asri dilantik menggantikan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah, yang dipindahkan dari jawatannya di bawah Kementerian Kewangan kira-kira seminggu selepas pilihan raya umum ke-14.

Selain itu, 1MDB turut membentuk Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu dengan anggotanya terdiri daripada Datuk Mohammad Faiz Azmi, Datin Rashidah Mohd Sies dan Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Kenyataan itu menyebut jawatankuasa berkenaan diberi amanah oleh lembaga pengarah untuk menguruskan operasi harian syarikat.