Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri ekonomi 'buru' Toyol of Selangor
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 12:22 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta pasukan guamannya memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti identiti pemilik blog Toyol of Selangor yang didakwa memfitnahnya.

Tindakan itu bagi membolehkan beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik blog yang mendakwa beliau mempunyai wang RM300 juta di luar negara.

“Tindakan undang-undang ini bertujuan menghentikan penyebaran fitnah yang secara sengaja berniat jahat untuk menggugat kewibawaan dan integriti menteri hal ehwal ekonomi,” kata setiausaha akhbarnya Mohd Hassanal Bolqiah Bin Mohd Yusoff .

Azmin kelmarin dilapor menafikan dakwaan itu dan bersedia mengisytiharkan aset yang sudah menjadi amalannya sejak beliau mula berkhidmat sebagai wakil rakyat pada 2008.

Laporan menyebut, penulis blog yang mengaku sebagai kakitangan Azmin mendakwa bekas menteri besar Selangor itu telah “merompak duit rakyat” dan kini mahu “merompak aset persekutuan”.

Penulis blog itu yang tidak diketahui identiti mendakwa penyiasatan bebas menemui pelbagai akaun bank dikaitkan dengan Azmin di pelbagai negara termasuk di Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, China; Abu Dhabi, Australia; Zurich, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Hassanal Bolqiah berkata Azmin juga sangat kecewa dengan media yang melaporkan dakwaan dari sumber yang tidak berwibawa, sekali gus terperangkap dalam politik kotor.

Semakan Malaysiakini sebentar tadi mendapati blog itu tidak boleh lagi dicapai.

Lihat Komen
ADS