Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memohon maaf kepada Ahli Dewan Rakyat berhubung penyiaran iklan beras oleh televisyen tempatan yang disifatkan oleh mereka sebagai memperolok-olokkan institusi raja Melayu.

Setiausaha Parlimennya Datuk Rohani Abdul Karim berkata, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan kementerian bagi membolehkan penyiarannya dihentikan.

"Kementerian memohon maaf atas perkara itu," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, perkara itu dibangkitkan ahli Parlimen dalam perbahasan mereka dan berpendapat iklan itu menjatuhkan imej raja-raja Melayu.

Iklan berkenaan antara lain memaparkan seorang `raja' murka kerana dipersembahkan beras yang tidak berkualiti tetapi menerima dengan pujian melimpah apabila dipersembahkan dengan beras berjenama yang berkenaan.

Mengenai pelaksanaan subsidi diesel untuk nelayan, Bernama melaporkan Rohani sebagai berkata, hanya nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sahaja akan menikmati subsidi diesel yang akan dilaksanakan mulai Januari depan.

Bagi mengelakkan penyelewengan, beliau berkata nelayan yang berdaftar itu akan diberikan `kad pintar' yang akan digunakan untuk membeli diesel.

"Tak kira berapapun harga diesel di pasaran, untuk nelayan kita akan jual pada RM1 seliter. Oleh itu saya minta nelayan cepatlah berdaftar dengan LKIM," katanya.