Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketika rakyat Malaysia ternanti-nanti senarai penuh menteri kabinet, PAS pula melihat tiada keperluan bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik pemimpin dari negeri Kelantan bagi posisi berkenaan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, menteri kabinet mesti dipilih daripada kalangan mereka yang menang pilihan raya.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak memenangi walau satu pun kerusi parlimen di Kelantan.

"Sebarang perlantikan bertaraf senator sebagai menteri atau timbalan, hanya akan mengundang tohmahan kerana rakyat tak mahu melihat budaya BN diteruskan.

"Pada saya tiada keperluan menteri dilantik dari Kelantan sekiranya sistem federalisme dapat diperkukuhkan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan sebagai salah seorang wakil rakyat PAS Kelantan.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada pimpinan parti Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan dan pandangan penganalisis politik yang melihat keperluan untuk melantik pemimpin dari negeri itu sebagai menteri kabinet.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, baki senarai menteri telah dimuktamadkan dan akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat.

Malah, Istana Negara turut mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu sekali gus menetapkan tarikh 2 Julai sebagai hari angkat sumpah menteri kabinet yang dipilih.

Sebagai rekod sebelum ini, 13 menteri kabinet telah mengangkat sumpah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berharap kerajaan persekutuan akan terus membantu pembangunan di Kelantan.

"Kerajaan (negeri) yang telah dipilih oleh rakyat adalah saluran terbaik bagi kerajaan pusat menyalurkan pembangunan di Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS