Polis umum nilai rampasan dari kediaman terkait Najib esok
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Amar Singh dijadualkan mengadakan sidang akhbar esok mengenai barangan yang disita dari beberapa kediaman yang dikaitkan dengan siasatan pihak polis terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan syarikat 1MDB.
Dalam sebaran media petang ini, polis berkata sidang akhbar itu akan diadakan di pejabat jabatan siasatan jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.
"Sidang akhbar berkaitan dengan penilaian barang-barang yang disita," maklum sebaran tersebut.
Pada 14 Jun, Amar berkata pihak polis masih menilai barangan yang dirampas dari tiga unit kondominium mewah di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.
Beliau mengulas laporan China Press yang menyebut polis telah siap memberi anggaran nilai barangan yang dirampas itu, termasuk 433 jam tangan berjenama, yang nilai keseluruhannya berjumlah RM80 juta, dengan seutas jam tangan khusus bernilai RM3.5 juta.
Laporan itu berkata polis juga telah selesai mengira nilai 'jongkong emas' yang dirampas tetapi masih berusaha menyelidik nilai barangan kemas yang disita itu.
Pada 24 Mei lalu, Amar mendedahkan wang tunai yang dirampas berjumlah RM114 juta.
[Berita penuh menyusul]

