Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor meminta ahli parti itu supaya berjuang habis-habisan 'seolah-olah parti itu yang bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir'.

"Mesej saya kepada Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat supaya bergerak, berjuang dan bekerja habis-habisan seolah-olah yang bertanding itu PKR sendiri," ujarnya ketika berucap di Majlis Ceramah Perdana 'Mempertahankan Hak Rakyat Pasir Mas' di Markas Angkatan Muda PKR, di Pasir Mas malam tadi.

Menurut laporan HarakahDaily.Net, turut berucap di majlis sanjuran PKR Kelantan itu ialah Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Saifuddin Nasution Ismail.

Ezam menegaskan bahawa tiada ada bezanya antara PAS dengan Keadilan untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil 6 Disember ini.

"Apa yang penting adalah kekuatan jentera. Kerjasama jentera itu cukup penting. Saya mahu peristiwa di Lunas berlaku lagi di Pengkalan Pasir ini...yang lebih penting jentera PAS dan Keadilan kena mantap," ujarnya di hadapan hampir 5,000 hadirin.

'Serangan hebat'

Beliau juga melahirkan kemungkinan PAS dan PKR akan menghadapi serangan yang lebih hebat daripada pihak lawan dalam pilihanraya kecil itu.

Sehubungan itu, katanya, kemantapan jentera PAS dan PKR dalam menghadapi serangan Umno itu amat penting.

Ezam mengambil contoh kemantapan jentera Barisan Altenatif (BA) dalam pilihanraya kecil Lunas di Kedah yang lalu, sehingga pengundi hantu dapat ditangkap.

"Pengundi hantu pun kita boleh tangkap, betapa hebatnya jentera kita dan kerana itulah, maka saya dan rakan-rakan ditangkap di bawah ISA. Yang penting kita kena bergerak sebagai satu pasukan.

"Itu yang berlaku di Lunas dan seharusnya juga berlaku di Pengkalan Pasir ini," ujarnya lagi.