Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
WSJ gambarkan Rosmah kuasa sebenar di belakang Najib
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 5:28 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Sebuah laporan terbaru Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai pengaruh besar terhadap keputusan yang dibuat oleh suaminya, Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjadi perdana menteri.

Laporan itu memaparkannya sebagai "wanita pertama yang kuat" yang mana pendapatnya sering menguasai "Najib yang kurang tegas" dan mereka kekal sebagai "pasangan setia".

"Sewaktu pengasas Singapura, Lee Kuan Yew bertemu dengan Najib pada tahun 2009, Lee meminta Rosmah untuk ikut hadir, mengulas kepada media Singapura berkata beliau telah mendengar pasangan itu bekerja sebagai satu pasukan," petik laporan itu.

Laporan itu mendakwa Najib kelihatan "hanya menjadi satu bahagian" daripada urus niaga 1MDB, yang menjadi subjek penyiasatan Jabtan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

"Si isteri mempunyai lebih banyak gambar berbanding suami," kata WSJ, memetik seseorang yang dianggap oleh penyiasat Amerika Syarikat (AS) sebagai memainkan peranan utama dalam dakwaan penipuan 1MDB.

Dakwaan halang siasatan 1MDB

Laporan itu mendakwa Najib mahu meletak jawatan pada 2016 berhubung siasatan terhadap 1MDB tetapi Rosmah tidak bersetuju dan sebaliknya cuba menghalang siasatan.

Pada masa itu, Jabatan Keadilan AS telah mendedahkan ia sedang menjejaki aset berkaitan dengan 1MDB yang didakwa dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara itu.

"Satu (sumber) berkata Rosmah menggesa beliau (Najib) untuk tetap teguh, menyifatkan perkara itu sebagai 'ujian daripada Allah' dan beliau membantunya dengan mengetuai ikhtiar untuk menghalang siasatan di Malaysia.

"Tahun lepas, Rosmah membayar pelobi Amerika untuk mendesak Jabatan Keadilan Amerika Syarikat untuk menggugurkan siasatan terhadap 1MDB, kata seseorang yang biasa dengan perkara itu.

"Orang ini (sumber) berkata Rosmah mengatur satu pertemuan antara pelobi dan duta Malaysia ke Amerika Syarikat," kata laporan itu.

Menurut WSJ, Rosmah tidak menjawab permintaan mereka untuk temubual, manakala peguamnya enggan mengulas mengenai artikel itu.

WSJ, sekali lagi memetik sumber-sumber, berkata ketika penyiasatan mengenai 1MDB di Malaysia sedang berjalan pada tahun 2015, Rosmah telah mendesak pejabat perdana menteri untuk menyatakan gaya hidup mewah Najib tidak menghairankan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)".

Susulan itu, empat orang adik-beradik Najib mengeluarkan kenyataan mengenai 'warisan harta pusaka itu' berkata ia menimbulkan kebimbangan.

"Kami ingin menyatakan bahawa Abdul Razak merupakan orang yang sangat berprinsip dan hal ini diketahui semua yang mengenali sikap berhemah dan integritinya.

"Apa jua kenyataan atau kaitan yang bertentangan dengan itu sama sekali tidak benar dan mengelabui ingatan padanya dan khidmat serta pengorbanannya pada negara," petik kenyataan ringkas empat beradik.

WSJ memetik seorang ahli keluarga Najib berkata Rosmah sangat marah dengan kenyataan itu mendakwa empat beradik suaminya itu akan menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri.

Lihat Komen
ADS