Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikrar Umno ke Putrajaya sebelum PRU15 dapat sokongan
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 6:49 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Ikrar calon presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berusaha sebaik mungkin supaya parti berkenaan dapat membentuk kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang bukan kenyataan 'terhegeh-hegeh' atau menggadai maruah parti.

Sebaliknya, menurut anggota Parlimen Mersing, Datuk Abd Latiff Ahmad, cadangan Zahid termasuk kemungkinan Umno membentuk kerajaan dengan sesiapa saja termasuk apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, mengandungi makna terselindung.

“Ia sebenarnya adalah suara dan akar umbi yang ingin melihat Umno memiliki kuasa di Putrajaya.

“Tidak timbul soal melukut di tepi gantang dalam isu ini kerana Umno perlu berkongsi kuasa dengan pentadbiran yang ada memandangkan suaranya yang kuat di Parlimen tidak memungkinkan Pakatan Harapan dapat bertakhta dengan aman,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Menurut Abd Latiff yang juga adalah anggota Majlis Tertinggi Umno, sebagai parti terbesar dan parti Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan, adalah janggal bagi negara majoriti Melayu duduk di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

Pada pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, Umno memenangi 54 kerusi parlimen dan hanya kekal berkuasa di dua negeri.

Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata, Umno kekal sebagai parti yang mempunyai paling banyak kerusi dan walaupun sebagai pembangkang, Umno masih dilihat mewakili suara majoriti rakyat, khasnya orang Melayu.

“Jadi, bukanlah mudah bagi HARAPAN menafikan suara Umno di Parlimen, terutama dalam mencari undi bagi meluluskan sesuatu usul.

“Oleh itu, daripada menjadi penghalang, lebih baik Umno ditarik mengganggotai kerajaan menerusi satu formula khas penyatuan kerajaan.

“Lagipun, Umno ada pengalaman luas mentadbir negara dari segenap sudut,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa HARAPAN - yang berjaya menumbangkan BN pada PRU14 - kini bermasalah.

Kata anggota parlimen Bagan Datuk itu, jika dipilih menjadi presiden Umno nanti beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaga parti berkenaan supaya dapat membentuk kerajaan semula.

"Pembentukan kerajaan ini bukan saja kita kena tunggu sampai PRU ke-15.

"InsyaAllah, kita tahu sebelah sana (HARAPAN) ada goyang sana ada goyang sini, retak sana retak sini.

"Siapa yang retak pun sedang cari Umno (sebab) kita parti tunggal yang besar, yang ramai (di Dewan Rakyat)," katanya.

Lihat Komen
ADS