Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vincent Tan jual pegangan saham T7 Global, sangkal dakwaan kroni PM

Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, yang muncul sebagai pemegang saham utama T7 Global Bhd pada bulan lepas merancang menjual keseluruhan pegangannya dalam penyedia perkhidmatan lapangan minyak luar pantai itu.

Hartawan itu mendedahkan perkara tersebut hari ini dalam satu kenyataan bagi menjelaskan kedudukannya dan menyangkal sebarang dakwaan, atau sebarang salah laku, atau kronisme di pihak kerajaan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penjelasan itu adalah untuk menepis dakwaan beberapa laporan berita dan artikel di media sosial berkaitan pembelian 21 juta saham olehnya baru-baru ini, terdiri daripada 5.04 peratus pegangan dalam T7 Global.

“Laporan berita ini berniat jahat dan kelihatan seolah-olah mengaitkan pembelian pegangan besar dalam T7 Global itu dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bercanggah dengan laporan terdahulunya.

Komen media sosial

"Saya percaya laporan berita ini dan komen-komen di media sosial bertujuan untuk memalukan saya dan kerajaan baharu di Putrajaya," kata Tan.

Menurut makluman T7 Global kepada Bursa Malaysia, Tan membeli 21 juta saham atau 5.03 peratus pegangan dalam syarikat itu menerusi urus niaga perniagaan langsung pada 15 Mei dan tambahan 1.2 juta saham dalam pasaran terbuka pada 21 Mei, meningkatkan pegangannya kepada 22.2 juta saham atau 5.29 peratus.

"Malahan, saya telahpun mula menjual beberapa saham saya dalam T7 Global setakat semalam dan saya berhasrat menjual semua saham saya dalam syarikat itu dalam masa terdekat ini. Saya berharap ia akan menamatkan sebarang kontroversi lagi mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata pembelian itu dibuat kerana beliau mengenali pemegang saham utama syarikat itu dan apa yang lebih penting adalah sebagai pelaburan jangka panjang dalam industri perkhidmatan minyak dan gas memandangkan T7 Global mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor tersebut.

"Saya tidak mengetahui bahawa T7 Global adalah antara kontraktor bagi projek ECRL semasa saya membeli saham syarikat tersebut," katanya.

Tan berkata Dr Mahathir dengan tegas menafikan dakwaan bahawa kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek ECRL kerana ‘rakannya Tan Sri Vincent Tan” memegang pegangan dalam projek itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga menjelaskan bahawa oleh kerana RM20 bilion telahpun dibayar, kerajaan akan menanggung kos yang tinggi sekiranya membatalkan projek ECRL, sebaliknya, kontrak akan dirundingkan semula bagi mengurangkan kosnya.

Tuduhan tak berasas

“Meskipuan penjelasan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, masih lagi tersebar tuduhan yang tidak berasas dalam berita dan juga media sosial,” kata Tan.

Sementara itu, beliau juga mendedahkan beberapa “berita palsu” yang termasuk laporan yang mendakwa beliau melabur dalam sebuah syarikat pemula niaga kewangan yang membangunkan platform dagangan dipanggil Bitcoin Formula, yang mempromosikan teknologi blockchain dan kripto.

Tan berkata terdapat juga artikel di laman Facebook yang mendakwa beliah menderma sebanyak RM525 juta kepada Tabung Harapan Malaysia, yang ditubuhkan untuk membolehkan rakyat Malaysia menyumbang bagi mengurangkan hutang negara.

"Langsung tidak ada sebarang kebenaran dalam mana-mana laporan ini, dan saya percaya ia disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk mempedayakan orang ramai,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS