Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada 6 Dis ini, akan diumumkan dalam tempoh sehari dua lagi, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Katanya, beliau akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini bagi mendapatkan keizinan dan restu mengenai calon BN itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Pengurusan parti yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya.

"Ini (nama calon) terpulang kepada restu dan keizinan Presiden Umno," katanya kepada pemberita selepas penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulangtahun ke-67 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar akibat kanser hati pada 31 Oktober lalu. Penamaan calon ditetapkan pada 27 November ini.

Menurut laporan Bernama, Annuar berkata, pengumuman calon BN itu akan dibuat dalam satu majlis di Pengkalan Pasir lebih awal tanpa perlu menunggu PAS mengumumkan calonnya.

Katanya, kriteria utama pemilihan calon BN itu ialah seorang yang setia kepada parti, seorang yang konsisten berkhidmat kepada rakyat dalam semua keadaan, seorang aktivis, seorang yang berlatarbelakangkan akademik yang cemerlang, mempunyai daya profesionalisme yang tinggi dan sentiasa berada di kawasannya.

"Bakal wakil rakyat, kita nak mengekalkan reputasi wakil rakyat yang berjuang dan berkhidmat untuk rakyat, sebab itu kriteria memilih calon ini saya beri keutamaan kepada rekodnya, ada orang yang mudah putus asa, yang mudah kecewa, yang bekerja secara bermusim atau pun banyak masa di Kuala Lumpur hanya hujung minggu di kawasan, itu secara automatik tidak layak menjadi calon di Pengkalan Pasir.

"Kita nak seorang yang konsisten, kita nak seorang yang terus bekerja dan seorang yang tidak menghampakan hasrat rakyat. Jadi kita fikir calon kita ini kalau dilihat dari semua sudut adalah seorang calon yang sangat baik dan kita fikir kita tidak perlu bertangguh lama untuk namanya

diumumkan," katanya.

Beliau berkata, calon BN tersebut telah mendapat persetujuan ramai daripada Umno Bahagian Pasir Mas dan bahagian lain di Kelantan serta parti-parti komponen BN.

Berkempen secara tertib

"Nampaknya calon yang disenarai pendek itu, sama-sama mereka pun berkompromi tidak ada perebutan. Ini satu petanda yang baik," katanya.

Ditanya mengenai peluang BN untuk memenangi pilihanraya kecil itu, Annuar melihat peluang sangat baik kerana pilihanraya itu tidak lagi dianggap oleh pengundi di kawasan itu sebagai pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tetapi menjadi satu pilihanraya yang dianggap sebagai penentu kepada masa depan Kelantan.

"Rakyat Pengkalan Pasir melihatnya sebagai satu pilihanraya yang penting. Oleh itu mood dan suasananya tidak lagi tempatan tetapi lebih kepada untuk melihat Kelantan maju," katanya.

Mengenai saranan Perdana Menteri supaya semua pihak berkempen secara tertib dalam pilihanraya kecil itu, Annuar berkata sekarang ini rata-rata pengundi cerdik dan berpendidikan.

Katanya, pilihanraya akan berjalan dengan tenang sekiranya tidak ada pihak tertentu menabur fitnah, mengedar surat layang dan menyerang peribadi yang boleh menimbulkan kemarahan.

"Jentera BN kita garis disiplin yang ketat, kita tidak benarkan penyebaran surat layang, kita tidak membenarkan jentera kita menyerang mana-mana peribadi, penceramah juga hanya boleh berceramah mengenai dasar parti dan apa yang hendak dilakukan," katanya.