Malaysia hari ini menafikan laporan sebuah akhbar berpengaruh di Indonesia kononnya dana bagi kegiatan Dr Azahari Husin disalurkan dari negara ini.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berkata, pendirian kerajaan dalam isu keganasan adalah jelas, iaitu tidak akan membantu atau menyokong mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Kita minta bukti. Jangan buat tuduhan-tuduhan dalam surat khabar sedemikian.

"Sebab bagi kita, kita tidak izin (keganasan), jadi tidak timbul kita nak bagi sokongan, bantuan kepada mana-mana pengganas," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.

Laporan akhbar Media Indonesia menyebut bahawa dana bagi kegiatan kelompok pengganas yang dikaitkan dengan Dr Azahari, yang mati ditembak di Malang, Jawa Timur Rabu lalu dan seorang lagi rakyat Malaysia yang masih diburu, Nordin Mat Top, disalurkan dari Malaysia.

Sedia siasat

Menurut berita itu, yang memetik seorang pemerhati perisikan tempatan Wawan H. Purwanto, seorang diplomat asing (tidak disebut dari negara mana) yang mempunyai kekebalan menjadi penghubung dan berperanan menyalurkan dana untuk kumpulan itu.

Laporan itu turut menyebut bahawa dana berkenaan disalurkan melalui seorang kurier yang berasal dari Malaysia, yang dinamakan sebagai Suf, dan dana itu datang dari sumbangan mereka yang bersimpati dengan Nordin dan Azahari di Malaysia.

Menurut laporan Bernama, Noh berkata tuduhan yang disiarkan oleh akhbar berkenaan adalah tidak betul.

"Malah orang luar yang datang ke Malaysia pun, kalau kita dapat maklumat dia cuba nak buat keganasan atau ada hubung kait dengan kegiatan keganasan seperti JI (Jemaah Islamiyah) kita tangkap, bagaimana pula orang kat luar kita nak bantu. Itu satu tuduhan yang tidak betul," katanya.

Beliau berkata kerajaan sedia untuk menyiasat kes itu jika mereka yang membuat tuduhan berkenaan mempunyai bukti dan tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa di negara ini.