Mahkamah tolak permohonan NSTP ketepi saman fitnah RM1.8 bilion
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan New Straits Times Press (M) Bhd untuk mengetepikan saman fitnah RM1.8 bilion yang difailkan terhadapnya oleh PC Suria Nascom Group Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan New Straits Times Press (M) Bhd untuk mengetepikan saman fitnah RM1.8 bilion yang difailkan terhadapnya oleh PC Suria Nascom Group Sdn Bhd.
Permohonan itu ditolak oleh Penolong Kanan Pendaftar Rasyihah Ghazali di dalam kamarnya.
PC Suria Nascom dan dua anak syarikatnya, Perbadanan Komputer Nasional Bhd dan PC Suria Malaysia Sdn Bhd, serta Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkifli Amin Mamat, memfailkan saman itu terhadap NSTP berhubung beberapa rencana yang tersiar dalam akhbar The Malay Mail pada 12 Ogos serta 4, 5, 9, 10, 11 dan 15 September 2003.
Dalam penyata tuntutan mereka, plaintif mendakwa NSTP telah menerbitkan rencana mengandungi tuduhan dan kenyataan palsu yang berniat jahat dan berbentuk fitnah yang telah menjejaskan perniagaan mereka dengan teruk.
Mereka menuntut ganti rugi teruk, gantirugi teladan dan injunksi yang menghalang NSTP daripada terus menerbitkan rencana mengandungi fitnah dalam sebarang bentuk dalam media cetak.
Mereka mendakwa bahawa kesemua rencana yang mengandungi fitnah itu telah menyebabkan mereka menanggung kerugian daripada segi kontrak yang bakal diceburi dengan syarikat lain.
Menurut laporan Bernama, Plaintif juga mendakwa NSTP telah mensensasikan perkara berkenaan dan kenyataan mengenainya tidak disokong oleh fakta, serta semata-mata bersifat spekulasi.
Plaintif juga mendakwa bahawa NSTP terus menerbitkan sebuah rencana tentang perkara itu walaupun peguam mereka telah menuntut melalui sepucuk surat bertarikh 11 September agar syarikat terbabit menarik balik tuduhan berkenaan dan tidak mengulanginya.

