Pertama kali dalam sejarah DAP, perwakilan mengemukakan usul dalam mesyuarat agung tahunan Sabtu ini untuk membataskan tempoh seseorang pemimpin memegang jawatan kepada tiga penggal atau sembilan tahun.

Ketua Pemuda DAP Teng Chang Khim memberitahu malaysiakini hari ini, sebilangan cawangan menyarankan usul itu memandangkan kebanyakan pemimpin parti-parti politik di negara ini memegang jawatan terlalu lama, sehingga 10 penggal.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu memegang jawatan masing-masing selama 20 tahun, sementara Datuk Seri Dr Ling Liong Sik sebagai Presiden MCA selama 15 tahun.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang memegang jawatan setiausaha agung, yang dianggap kedudukan paling berpengaruh dalam parti itu, selama 30 tahun. Jawatan sekarang disandang sejak selepas pilihanraya umum 1999.

Baru-baru ini Teng menimbulkan kemarahan beberapoa pihak dalam parti itu apabila menggesa Lim meninggalkan jawatannya sekarang dan membenarkan pemimpin muda mengambil alih peranan itu. Tokoh veteran pembangkang itu juga digesa agar tidak menerima sebarang pencalonan kali ini.

Teng tidak menafikan episod itu mendorong beberapa cawangan berkenaan mengambil langkah mengemukakan usul itu.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada gesaan saya itu membawa kesan kepada Lim. Tetapi pendiriannya untuk tidak menolak pencalonan tahun ini menunjukkan bahawa beliau mahu membuktikan beliau tidak boleh ditewaskan dan akan mendapat banyak undi, seperti sebelum ini," kata Teng, juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Kelang.

Perkembangan penting

Teng berkata keputusan penasihat seumur hidup parti itu Dr Chen Man Hin untuk tidak bertanding sebarang jawatan kali ini boleh dilihat sebagai perkembangan yang penting kepada DAP.

Dalam perkembangan berkaitan, hanya lima daripada 26 anggota jawatankuasa pusat DAP sekarang tidak dicalonkan semula. Mereka adalah Naib Pengerusi Chew Chin Sin, Penolong Bendahari Lau Dak Kee, dan Sim Tong Hin, Pang Hock Leong serta Wong Kim Lin.

Tiga puluh lapan calon akan bertanding untuk merebut 20 kerusi dalam kongres tahunan yang akan diadakan pada 18 dan 19 Ogos di Kuala Lumpur. Selain Lim, pemimpin-pemimpin kanan yang turut dicalonkan termasuk timbalan pengerusi Karpal Singh, setiausaha agung Kerk Kim Hock dan naib pengerusi Lim Guan Eng.

Mereka yang memenangi pertandingan itu akan melantik pemimpin-pemimpin kanan parti yang akan memegang jawatan masing-masing sehingga tiga tahun.

Kumpulan baru ini boleh melantik sehingga 10 anggota tambahan untuk menyertai jawatankuasa pusat.