Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,000 tempat untuk pelajar Cina masuk matrikulasi - Maszlee
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 3:05 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Kementerian Pendidikan menawarkan  1,000 tempat khas kepada pelajar Cina yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada kumpulan berpendapatan rendah B40 ke program matrikulasi sesi 2018/2019. 

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menegaskan bahawa penambahan tawaran khas kepada pelajar kaum Cina itu tidak akan menjejaskan pengambilan pelajar Bumiputera ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Sehingga semalam, katanya tawaran khas itu hampir dipenuhi apabila lebih 800 tempat sudah diisi. 

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berpegang kepada pendirian untuk membantu semua pelajar yang cemerlang dan layak dari segi akademik dan mempunyai keperluan untuk dibantu dari segi tahap sosio ekonomi mereka,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini. 

Berhubung pengambilan pelajar India ke program matrikulasi, Maszlee berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penambahan pengambilan 700  pelajar pada April lalu. 

Program matrikulasi KPM merupakan satu program pra universiti yang disediakan kerajaan bagi pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) profesional.

Pada tahun 2003, program itu memberi ruang sebanyak 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera bagi tujuan mewujudkan persaingan sihat disamping memantapkan integrasi nasional dan perpaduan kaum. 

Bagi sesi 2018/2019, Maszlee berkata sejumlah 84,891 permohonan telah diterima termasuk 20,040 permohonan daripada bukan Bumiputera. 

“Seramai 4,068 pelajar bukan Bumiputera telah ditawarkan tempat di kolej-kolej matrikulasi bagi sesi ini,” katanya.

Ditanya sama ada pengambilan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera ke kolej matrikulasi akan betambah pada tahun depan, beliau berkata kerajaan akan melihat keperluannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS