Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tentera Malaysia di Arab Saudi dipanggil pulang
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 6:17 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi akan dibawa pulang dalam tempoh terdekat.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa besar dunia, lapor Berita Harian.

"Kabinet membuat keputusan itu (bawa pulang tentera Malaysia) minggu lalu. Kita menunggu persediaan ATM untuk dibawa keluar.

"Kita juga menunggu kerjasama daripada Kementerian Luar yang akan membantu urusan ini," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, Malaysia komited dengan dasar berkecuali dan akan mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara Asia Barat, khasnya Arab Saudi, Yaman, Iraq dan Syria.

"Malaysia sentiasa akan bersahabat dengan negara lain dan jiran. Kita tidak mahu terbabit dengan konflik dengan negara jiran Arab Saudi.

"Tapi kita menghantar tentera pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kita ada MALBATT kira-kira 800 anggota tentera menjaga kestabilan di Lubnan di bawah panji PBB," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Kementerian pertahanan sebelum ini menilai kembali keputusan kerajaan terdahulu yang menempatkan satu pasukan ATM ke Arab Saudi bagi tujuan siap-siaga untuk evakuasi rakyat Malaysia di Yaman.

Jelasnya, Malaysia sama sekali tidak pernah terlibat dalam operasi menyerang Yaman, yang merupakan sebuah negara Islam.

Beliau berkata kehadiran ATM di negara berkenaan secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Timur Tengah.

Malaysia menempatkan tentera di Arab Saudi sejak tahun 2015 bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman yang sedang berhadapan konflik.

Badan Hak Asasi Manusia, Lawyers for Liberty juga sebelum ini mendesak kementerian itu menghentikan semua penyertaan ketenteraan dalam konflik di Yaman dan menarik balik tentera Malaysia di Riyadh.

Lihat Komen
ADS