Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mengadakan sesi penerangan mengenai 1MDB menjelang pemilihan Umno akan datang, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan, anggota parlimen Iskandar Puteri itu berkata sesi penerangan tersebut membolehkan bekas presiden Umno mendapatkan semula wibawanya.

"Ketika beliau menjadi perdana menteri, terutama dalam tiga tahun terakhir sejak maklumat tentang RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadinya menjadi berita, Najib telah mengelak soalan mengenai 1MDB seolah ianya wabak penyakit - tetapi memberi subkontrak kepada (CEO 1MDB) Arul Kanda untuk menjawabnya, mungkin dengan bayaran paling tinggi kerajaan kepada orang perseorangan, suatu perbelanjaan yang ditanggung para pembayar cukai," kata Lim.

Malaysiakini dilarang di beberapa majlis era Najib

Bagaimanapun, sejak kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Najib sekan terdesak bagi membersihkan sandal 1MDB, termasuk melakukan sesuatu yang "tidak pernah difikirkan" sebelum ini dengan memberikan wawancara eksklusif kepada Malaysiakini, portal berita yang dilarang dalam beberapa majlis rasmi semasa era pentadbirannya.

Sekiranya skandal 1MDB dan skandal "mini" yang lain seperti MARA dan Felda diterbitkan sebelum 9 Mei, maka undi Melayu kepada Umno/ BN akan lebih terjejas lagi, kata Lim.

Sementara itu, dalam suatu kenyataan berasingan, Anggota Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata Najib telah terkhilaf dengan berfikir bahawa menerima hadiah semasa memegang jawatan kerajaan sebagai tidak salah secara undang-undang.

"Marilah kita mengingatkan Najib bahawa di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2008, definisi rasuah merangkumi wang, derma, pinjaman, hadiah dan aset.

Jika bukan MB, PM boleh dapat hadiah?

"Adakah Najib dan isterinya, Rosmah Mansor berfikir mereka dapat menerima dan mengumpul 'hadiah' berjumlah RM1.1 bilion seperti yang diumumkan oleh polis semalam, jika tidak kerana jawatan politiknya, daripada menteri besar sehinggalah menjadi perdana menteri sepanjang tiga dekad yang lalu?" Soal Wong.

Beliau juga berkata barang-barang yang dirampas itu akan kekal terkumpul sebagai "koleksi peribadi" Rosmah jika Pakatan Harapan tidak memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei, membuka jalan perubahan dalam pentadbiran.

Najib tetap berpendirian bahawa penilaian polis terhadap barang-barangan yang disita dari rumahnya, terutama barangan kemas dikaitkan dengannya sebagai subjektif dan tidak munasabah