GLOBAL Seorang lelaki bersenjata memasuki pejabat sebuah akhbar kecil di Maryland pada hari Khamis dan melepaskan tembakan yang membunuh sekurang-kurangnya lima orang.

Ekoran serangan itu, polis meningkatkan keselamatan di pejabat media di bandaraya lain sebagai langkah berjaga-jaga, kata pihak berkuasa.

Pegawai polis di ibu kota Maryland, Annapolis, bertindak dalam beberapa minit selepas panggilan 911 mengenai satu kejadian tembakan yang sedang berlaku di pejabat kumpulan akhbar Capital Gazette dan menangkap suspek yang bersembunyi di bawah meja, kata pihak berkuasa.

Polis tidak mengatakan apa-apa mengenai kemungkinan motif serangan itu, di mana sekurang-kurangnya tiga orang lain cedera, tetapi pihak berkuasa menganggapnya sebagai satu insiden tempatan, tanpa ada kaitan dengan keganasan, kata sumber penguatkuasaan kepada Reuters.

Bilik berita terbabit kelihatan "seperti zon perang," kata Phil Davis, wartawan jenayah Capital Gazette yang berada di bangunan itu ketika kejadian itu, dalam temu bual dengan Baltimore Sun.

Katanya, dia bersembunyi di bawah meja bersama petugas lain akhbar itu ketika suspek berhenti menembak, lapor Capital Gazette di laman webnya.

"Saya tidak tahu mengapa dia berhenti (menembak)," kata Davis, yang kemudiannya berkata dia selamat.

Polis berkata mereka menemui apa yang mereka fikir mungkin satu alat letupan.

Satu sumber penguatkuasa memberitahu CBS News bahawa suspek adalah seorang lelaki berusia 20-an tanpa pengenalan diri. Dua sumber penguatkuasamemberitahu CBS News bahawa suspek bersenjatakan senapang patah.

[Baca berita penuh]