Bani Yamin Husin, adik kepada Dr Azahari Husin, hari ini memohon maaf kepada rakyat dan pemerintah Indonesia serta keluarga semua mangsa tragedi beberapa letupan bom yang dikaitkan dengan pakar pembuat bom rakyat Malaysia itu.

Dalam nada teresak-esak, beliau berkata, jika benar Azahari, buruan utama polis Indonesia yang ditembak mati di Kota Batu, Malang di Jawa Timur pada 9 November lalu, mempunyai kaitan dengan kejadian letupan bom yang mengorbankan ratusan jiwa itu, bagi pihak keluarganya, beliau memohon maaf.

"Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf seikhlas-ikhlasnya kepada rakyat Indonesia dan semua mangsa tragedi," katanya dalam sidang media di luar Rumah Sakit Polis Pusat RS Sukanto di Kramat Jati di Jakarta selepas memandi, mengapan dan melakukan solat ke atas jenazah Azahari yang kemudiannya dibawa ke lapangan terbang Cengkareng.

Beliau berkata, kejadian pengeboman yang dikatakan dilakukan oleh kelompok pengganas yang dipimpin oleh Azahari itu, seharusnya tidak berlaku, apatah lagi di negara yang serumpun.

Dalam sidang media itu yang menurutnya kali terakhir diberikan berhubung kes Azahari, Bani Yamin juga meminta maaf kepada media massa kerana tidak dapat melayani semua soalan walaupun mereka telah memberikannya kerjasama yang baik.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemerintah dan polis Indonesia kerana memberi kesempatan kepadanya untuk melihat dan mengenal pasti mayat Azahari, menguruskan jenazah serta membawanya pulang ke Malaysia untuk dikebumikan di Melaka.

Kira-kira jam 10 pagi, keranda yang berisi mayat Azahari dibawa dengan kereta jenazah polis Indonesia menuju lapangan terbang dengan diberikan kawalan ketat oleh polis Indonesia termasuk penggunaan kereta polis pengiring.

Pertemuan terakhir

Jenazah itu akan diterbangkan ke Malaysia dengan Penerbangan Malaysia pesawat MH721 yang akan berlepas pada 3.45 petang ini dan dijangka tiba di Kuala Lumpur kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, dalam temubual dengan sebuah stesen radio swasta di sini, Bani Yamin berkata secara peribadi beliau pernah cuba mengesan di mana abangnya itu berada melalui berita dan lamanweb.

Katanya, setiap kali mendapat berita Azahari masih menjadi buruan utama polis Indonesia, beliau tahu bahawa bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Skudai itu masih hidup.

"Setiap kali itu juga saya berdoa kepada Allah agar membuka hati Azahari supaya memberhentikan semua perbuatan yang dikaitkan dengannya," katanya, yang menambah bahawa keluarganya memang tidak tahu menahu mengenai apa juga tindakan Azahari selepas pertemuan mereka yang terakhir pada tahun 2001.