Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedang menyiasat sama ada bakal calon presiden, Reezal Merican Naina Merican seorang ahli gabungan itu yang sah, kata Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad.

Reezal yang berasal dari Pulau Pinang kini merupakan Naib Presiden GPMS, disebut-sebut akan mencabar Datuk Suhaimi Ibrahim bagi jawatan presiden gabungan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti sama ada GPMS Pulau Pinang yang hanya mempunyai dua cawangan, boleh diterima sebagai anggota gabungan.

Katanya, mana-mana negeri hanya layak menjadi ahli gabungan GPMS pusat sekiranya mempunyai sekurang-kurangnya tiga cawangan, daripada bahagian yang berlainan.

Manakala setiap cawangan itu pula, mesti mempunyai sekurang-kurang 25 ahli yang berdaftar.

"Kita hendak tahu cawangan manakah yang dianggotai oleh Reezal Merican dan adakah beliau membayar yuran tahunan seperti disyaratkan oleh perlembagaan GPMS. Kalau tidak, beliau tidak layak bertanding."

"Syarat sah menjadi ahli GPMS ialah membayar yuran tahunan," katanya ketika dihubungi.

Belum merayu

Katanya lagi, semua ini adalah proses terbaru GPMS untuk mengemaskinikan rekod keahlian gabungan tersebut bagi mengadakan persidangan khas pada 17 dan 18 Disember ini.

Menurutnya, pada tahun ini hanya 2,018 ahli GPMS yang membayar yuran tahunan, daripada sejumlah kira-kira 400,000 ahlinya sejak awal penubuhannya.

Sobri berkata, antara mereka yang telah disahkan tidak boleh bertanding ialah bekas Timbalan Presiden, Shahril Rejab dan bekas Setiausaha Agung Syed Anuar Mohamad kerana telah dipecat pada 25 Oktober lalu dan seorang ahli Majlis Tertinggi, Jais Abdul Karim yang digantung keahlian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya telah mengarahkan panel disiplin GPMS supaya menyegerakan rayuan jika mereka membuat rayuan bagi mengesahkan sama ada mereka boleh bertanding atau sebaliknya.

"Tetapi sehingga hari ini Shahril, Syed Anuar dan Jais belum membuat rayuan dan jika mereka kekal dengan pendirian itu, secara automatik tidak boleh bertanding dalam persidangan khas nanti," katanya.

Sementara itu, Sobri mendakwa ada segelintir ahli yang masih mengganggu kakitangan di bangunan Ibu Pejabat di ibu negara walaupun pucuk pimpinan GPMS telah membuat laporan mengenai perkara tersebut.

Katanya, kumpulan tersebut tidak mengendahkan amaran lisan polis dan keadaan ini menyebabkan kakitangan tidak dapat menjalankan tugas dengan sempurna.