Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semua anggota MT Umno bertanggungjawab, tak boleh lari'

WAWANCARA | Bagi Tengku Razaleigh Hamzah, beban tanggungjawab atas kekalahan Umno pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak boleh diletakkan pada seseorang saja.

Sebaliknya kata calon presiden Umno itu, ia mesti digalas secara bersama oleh pemimpin parti.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Tengku Razaleigh berkata sebagai badan tertinggi dalam parti, semua anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mesti menerima tanggungjawab tersebut.

"Orang ramai pun kata, Umno tak cacat, cuma ada sesetengah pimpinan barangkali yang telah menyebabkan kita kalah.

"Tetapi, saya nak kata, secara kolektif (sebagai satu pasukan) semua pemimpin yang berada dalam MT harus bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.

"Mereka tak boleh lari daripada tanggungjawab," katanya sambil memberi contoh spontan bagaimana pemimpin tentera Jerman pada era Adolf Hitler pun menunjukkan contoh bagaimana mereka sedia dipertanggungjawabkan.

Kata Tengku Razaleigh, langkah itu dibuat sebagai bukti sikap pertanggungjawaban yang serius.

Hampir semua calon anggota MT

Tengku Razaleigh ditemui di kediaman merangkap pejabatnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Bagaimanapun, anggota parlimen Gua Musang yang lebih mesra dipanggil Ku Li itu berkata, beliau pula sebaliknya tidak boleh dipersalahkan atas kecundangnya Umno.

Katanya beliau bukan anggota MT Umno sebaliknya cuma anggota parlimen yang mewakili satu kawasan di Kelantan.

Justeru, katanya, tanggungjawab penuh dan secara langsung kepada pengundinya saja.

"Saya tidak bertanggungjawab ke atasnya. Saya hanya bertanggunjawab ke atas pengundi saya," katanya.

Untuk rekod, Tengku Razaleigh menawarkan diri untuk menjadi presiden Umno sekali lagi selepas 31 tahun. Selain beliau, turut bersaing ialah bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dua lagi calon yang menyertai saingan itu - tetapi kurang dikenali - ialah Mohamed Iqbal Maricair (Ahli Jawatankuasa Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin (Umno Iskandar Puteri).

Bagi jawatan timbalan presiden Umno pula, tokoh yang bersaing ialah Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa serta bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Untuk jawatan naib presiden seramai tujuh orang menawarkan diri. Mereka terdiri daripada:

  • Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
  • Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
  • Sheikh Razali Sheikh Hamad
  • Datuk Seri Mahdzir Khalid
  • Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
  • Datuk Seri Johari Abdul Ghani
  • Datuk Seri Ahmad Said

Daripada calon-calon itu hanya Ahmad dan Sheikh Razali bukan anggota MT Umno pada penggal lalu.

Nasib mereka akan ditentukan oleh pewakilan yang akan mengundi esok.

Sementara itu mengulas dakwaan bahawa akan ada lebih ramai pemimpin parti politik itu akan disiasat pihak berkuasa selepas BN kecundang, Tengku Razaleigh berkata tindakan boleh diambil jika terbukti mereka melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Tengku Razaleigh berkata siasatan itu tidak sepatutnya hanya menjurus kepada Umno malah semua parti politik yang ada di negara ini termasuk Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Mereka bukan malaikat, mereka juga harus disiasat. Jangan kata Umno sahaja tak ada malaikat," katanya lagi.

Temu bual ini turut disertai Kow Gah Chie, Lu Wei Hoong, Ahmad Amir Adzim dan Al-Abror Mohd Yusuf.

Wawancara 1: Ku Li ada cara bawa Umno kembali berkuasa sebelum 2023

Wawancara 2: Ku Li: 1987 dulu lawan bapak gergasi, 2018 lain

Wawancara 3: Saya mungkin kalah debat dengan Khairy, kata Ku Li

Lihat Komen
ADS