Pak Pin Pantun Petualang PAS Pengkalan Pasir
Ariffin Senik pasti dianggap oleh PAS sebagai petualang dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir 6 Disember ini.
Akibat begitu kecewa dengan PAS yang beliau sokong dengan penuh setia selama 35 tahun, Ariffin atau lebih dikenali di kalangan penduduk Pengkalan Pasir dengan panggilan Pak Pin, menzahirkan kehampaannya itu menerusi pantun dan seloka.
Ariffin Senik pasti dianggap oleh PAS sebagai petualang dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir 6 Disember ini.
Akibat begitu kecewa dengan PAS yang beliau sokong dengan penuh setia selama 35 tahun, Ariffin atau lebih dikenali di kalangan penduduk Pengkalan Pasir dengan panggilan Pak Pin, menzahirkan kehampaannya itu menerusi pantun dan seloka.
Hampir segala ungkapan lelaki berusia 77 tahun ini boleh ditafsirkan sebagai satu manifestasi kekesalan dan kekecewaan rakyat Kelantan setelah sekian lama berada di bawah pemerintahan PAS.
Semasa ditemubual Bernama di rumah sewanya di Jalan Meranti di Pasir Mas, Ariffin, penyokong kuat PAS sejak di bawah pimpinan allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, berpantun:
Tanam serai di celah pandan,
Tanam kapas di pinggir kali,
Biar nyawa bercerai dari badan,
Undi PAS tidak sekali-kali.
Menurut Ariffin, komitmennya terhadap PAS ketika itu amat tinggi sekali sehingga beliau sanggup menjadikan Masjid Jameiyah di Pasir Mas sebagai kediamannya selama berpuluh tahun sebelum berpindah ke rumah sekarang lima tahun lalu.
Malahan, kad pengenalannya masih lagi menggunakan masjid itu sebagai alamat kediamannya. Sebagai tok siak masjid itu, beliau tidak diberi sebarang imbuhan daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau menyara kehidupannya hasil sumbangan bulanan RM100 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang tidak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Jadi bahan sindiran
Bagi menambah pendapatannya, Ariffin menjual surat khabar di segenap ceruk Pengkalan Pasir dengan mengayuh basikal buruknya sebaik saja selepas subuh, walaupun disindir oleh penyokong PAS kerana sanggup menjual akhbar antaranya Utusan Malaysia yang dicap oleh parti itu sebagai pro-Umno.
Bagaimanapun, kerana kesetiaannya yang kental terhadap PAS ketika itu, Ariffin berjaya mematahkan sindiran berkenaan dengan menyamakan aktivitinya itu dengan tindakan Nabi Ibrahim menjaja berhala di sekitar Kota Mekah untuk menyara kehidupan.
"Seperti Nabi Ibrahim, baginda secara sinis berkata bahawa hanya orang yang bodoh saja yang akan membeli berhala yang dijualnya. Sayapun demikian. Saya memberitahu pelanggan yang mengejek saya bahawa beliau pun tidak kurang bodohnya kerana membeli akhbar pro-Umno. Anehnya, kebanyakan pelanggan saya ialah penyokong PAS," kata Ariffin.
Sikap hipokrit orang PAS itu menyebabkan tanggapan Ariffin terhadap parti itu mula goyah. Lantas beliau mula menyoal dirinya sendiri apakah kesetiaan beliau terhadap PAS selama ini sesuatu yang betul.
"Saya mula bertanya diri sendiri apakah datuk nenek kita dulu yang wujud sebelum lahirnya PAS pada 1952 semuanya akan masuk neraka. Adakah umat Islam di negara-negara yang tidak mempunyai parti PAS seperti di Arab Saudi, Mesir, Yemen, Iran, Iraq dan Pakistan semuanya menjadi kafir.
"Belum pernah lagi saya tersua sepotong ayat Quran atau hadis yang mengatakan seseorang itu menjadi kafir jika tidak menyokong PAS. Soal syurga atau neraka bukan hak PAS," katanya.
Apabila pemikirannya bertambah terbuka, Ariffin mula ternampak pelbagai kecacatan dan kelemahan pentadbiran kerajaan PAS dan belang sebenar pemimpin mereka, khususnya wakil-wakil rakyat.
Beliau mendakwa kerajaan PAS telah gagal menunaikan janjinya untuk membawa pembangunan yang benar-benar memanfaatkan rakyat.
'Ibarat menimba ikan'
"Kota Darulnaim yang menjadi kompleks pentadbiran kerajaan negeri sekarang, stadium mini di sini (Pasir Mas), zon perindustrian Pengkalan Chepa, jalan Kuala Krai-Gua Musang, kompleks perikanan Kuala Besar, semuanya dibangunkan zaman Mat Yaacob.
"PAS ibarat orang menunggu orang lain menimba ikan dalam paya. Bila air surut dialah yang awal-awal lagi memungut ikan di dalam paya itu," katanya.
"Mat Yaacob" adalah nama panggilan rakyat Kelantan kepada bekas Menteri Besar Tan Sri Mohammed bin Yaacob yang menerajui kerajaan negeri selama 12 tahun selepas BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS pada pilihanraya negeri 1978. Bagaimanapun, PAS kembali berkuasa pada pilihan raya umum 1990.
Ariffin berkata, apabila PAS berkuasa semula, suasana ceria yang wujud di Kelantan tiba-tiba menjadi suram, aktiviti perniagaan menjadi lembap, pelabur mula memaling muka ke arah lain dan ribuan anak Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri atau negara lain untuk menyambung penghidupan.
"Bandar Pasir Mas sendiri tiba-tiba bertukar wajah menjadi sebuah pekan hantu sebaik saja matahari terbenam. Saya sendiri sukar nak beli ubat nyamuk selepas jam 8 malam," katanya.
Atas sebab-sebab itulah, maka Ariffin mengambil keputusan meninggalkan PAS tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak untuk menyertai Umno. Bagi meluahkan kekesalannya sepanjang berada dalam PAS, beliau mencipta beberapa pantun untuk digunakan semasa berkempen secara bersendirian untuk membantu calon-calon BN pada pilihanraya umum 2004 yang menyaksikan PAS hanya memenangi 24 kerusi daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Pantun pedas
Antara pantunnya yang benar-benar pedas dan menusuk jiwa pendengar ialah:
Buah keranji dari Sarawak,
Buah kecupu buah keriat,
Janji PAS semuanya melawak,
Siang malam menipu rakyat.
Bagi mematahkan dakwaan PAS kononnya ia adalah satu-satunya parti Islam, Ariffin mencipta pantun yang berbunyi:
Pergi Kepas ke rumah Cik Salam,
Ambil cekati di rumah Pak Ya,
PAS sebenarnya bukan parti Islam,
Ia hanya ciptaan manusia.
Mesej beliau ialah untuk mengingatkan pendengar bahawa PAS hanya satu lagi pertubuhan politik yang diwujudkan oleh manusia. Mengenai kegagalan PAS untuk mentadbir dan membangunkan Kelantan:
Tanam kapas berhimpit-himpit,
Anak rusa larinya laju,
PAS parti berfahaman sempit,
Sampai bilapun rakyat tak maju.
Ariffin, dalam penilaian para pemimpin Umno bahagian, telah muncul sebagai orang yang mampu melemahkan pengaruh PAS khususnya di Pengkalan Pasir.
Seperti kata ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tendong, Haji Mohd Fauzi Muhammad: "Isu yang dibangkitkan oleh Pak Pin dengan caranya itu, nyata boleh menimbulkan kesan pada pilihanraya kecil ini kerana ia mudah difahami oleh penduduk tempatan...dan ia juga benar."

